Viral

Pelakon Alice In Borderland Didakwa Belasah Bekas Kekasih

Pelakon Jepun, Nijiro Murakami, kini disiasat pihak berkuasa selepas didakwa menyerang bekas teman wanitanya.

Menurut laporan, kejadian itu dipercayai berlaku antara Mac hingga Mei 2024 di kediaman pasangan tersebut di Shibuya, Tokyo, Jepun.

Pelakon berusia 29 tahun itu didakwa mengasari bekas teman wanitanya yang tinggal serumah dengannya dalam empat kejadian berasingan.

Murakami didakwa menarik rambut mangsa sebelum menghentakkan kepalanya ke arah tingkap. Dia juga dipercayai menumbuk muka wanita tersebut.

Mangsa dilaporkan mengalami kecederaan yang mengambil masa lebih sebulan untuk pulih.
Wanita itu kemudian membuat laporan kepada Polis Metropolitan Tokyo pada awal tahun ini manakala identitinya tidak didedahkan kepada umum.

Murakami dilaporkan hadir untuk disoal siasat secara sukarela.

“Tidak dinafikan saya telah mencederakannya,” katanya seperti dilaporkan media tempatan.

Pihak polis telah merujuk kes itu kepada pihak pendakwa raya atas syak wasangka melakukan serangan. Pendakwa raya kini akan menentukan sama ada pertuduhan rasmi akan dikenakan terhadap pelakon tersebut.

Murakami turut mengeluarkan kenyataan berhubung dakwaan berkenaan. Menerusi media sosial, dia memohon maaf atas “kebimbangan dan kesulitan besar” yang telah ditimbulkannya.

“Saya akan menjelaskan keadaan sebenar mengenai perkara ini dengan kata-kata saya sendiri dalam masa terdekat,” menurut kenyataan tersebut.

Nijiro Murakami merupakan seorang pelakon dan pelakon suara dari Jepun. Dia memulakan kerjaya lakonan pada tahun 2014 menerusi filem ‘Still the Water’, dengan memegang watak Kaito.

Namanya semakin dikenali di peringkat antarabangsa selepas membintangi watak Shuntaro Chishiya dalam siri drama original Netflix, Alice in Borderland.

Pada tahun 2023, Murakami mengambil keputusan berehat daripada dunia hiburan atas faktor kesihatan mental dan fizikal.

Related Articles

Back to top button