Lensa Skrin

16 Tahun Tidak Berlakon, Won Bin Dirayu Kembali Ke Dunia Lakonan

Pelakon terkenal Korea Selatan, Won Bin, tidak lagi muncul dalam filem atau drama selama 16 tahun sejak kejayaan besar filem The Man from Nowhere pada tahun 2010.

Pada 27 Jun lalu, pelakon veteran Park Geun Hyung berkongsi pandangannya mengenai tempoh panjang Won Bin menyepi daripada dunia lakonan menerusi rancangan MBN, Kim Ju Ha’s Day & Night.

Park mengimbau kembali pengalamannya bekerja bersama Won Bin dalam drama Kkokji pada tahun 2000.

Menurutnya, ketika itu dia pernah menegur Won Bin supaya memotong rambut serta memperbaiki sebutan dialognya. Won Bin menerima teguran tersebut dengan hati terbuka, berusaha gigih dan akhirnya berjaya muncul sebagai salah seorang bintang terbesar Korea Selatan.

Namun, Park mengakui dia berasa amat sedih melihat bakat besar Won Bin tidak dimanfaatkan.

“Saya selalu beritahu dia supaya kembali berlakon,” katanya.

Pengacara rancangan itu, Kim Ju Ha, yang juga merupakan rakan Won Bin, turut menjelaskan sebab pelakon tersebut sudah lama tidak muncul di kaca televisyen atau layar perak.

Menurutnya, Won Bin merasakan imejnya menerusi The Man from Nowhere terlalu kuat sehingga menyukarkannya menerima tawaran watak baharu.

Kim Ju Ha turut mendedahkan Won Bin kini sedang menyimpan rambut panjang sambil menunggu watak yang benar-benar sesuai untuk kemunculannya semula.

Mendengar penjelasan itu, Park menasihatkan Won Bin supaya berani mencabar dirinya dengan membawa watak yang lebih berbeza dan berimpak bagi mengubah persepsi penonton terhadap imejnya.

Ketika ini, Won Bin hanya tampil dalam pelbagai iklan televisyen.

Won Bin mendirikan rumah tangga dengan pelakon Lee Na Young pada tahun 2015 dan pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki.

Sehingga kini, ramai peminat serta penggiat industri hiburan Korea masih berharap agar Won Bin kembali mewarnai dunia lakonan dalam masa terdekat.

Related Articles

Back to top button