Global

Percutian Di Vietnam Bertukar Detik Cemas, Bayi Pramatang 720 Gram Akhirnya Dibenar Pulang Selepas 87 Hari

Percutian sepasang suami isteri dari Singapura di Da Nang, Vietnam bertukar menjadi detik yang tidak dijangka apabila anak perempuan mereka dilahirkan pramatang pada usia kandungan 27 minggu satu hari, dengan berat hanya 720 gram.

Selepas melalui 87 hari yang mencabar di hospital, bayi perempuan itu akhirnya dibenarkan pulang pada 22 Jun lalu.

Kisah keluarga itu dikongsikan oleh Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Da Nang menerusi satu hantaran di Facebook pada 22 Jun.

Hantaran tersebut turut memaparkan sekeping nota tulisan tangan daripada si bapa yang dikenali sebagai Chen.

Menurutnya, dia dan isterinya berada di Vietnam untuk percutian singkat dan merancang pulang ke Singapura bagi menanti kelahiran puteri sulung mereka.

Namun pada 16 Mac, iaitu sehari sebelum penerbangan pulang, isterinya tiba-tiba mengalami ketidakselesaan dan terpaksa dikejarkan ke hospital.

Doktor kemudian mengesahkan wanita itu mengalami preeklampsia yang teruk, iaitu komplikasi kehamilan yang boleh mengancam nyawa akibat tekanan darah terlalu tinggi serta tanda-tanda kerosakan organ.

Menurut Vietnam Net, wanita itu turut mengalami pengumpulan cecair di beberapa bahagian badan, paras natrium yang rendah serta disyaki mengalami kegagalan jantung.

“Tiba-tiba kami terpaksa berdepan situasi hidup dan mati di negara asing dan hanya mampu berkomunikasi menggunakan Google Translate,” tulis Chen.

Walaupun rawatan standard bagi preeklampsia yang teruk biasanya memerlukan bayi dilahirkan dengan segera, pasukan perubatan pada mulanya cuba memanjangkan tempoh kehamilan supaya janin mempunyai lebih banyak masa untuk berkembang.

Namun selepas dua minggu dipantau rapi, janin menunjukkan tanda-tanda tekanan yang serius.
Bagi menyelamatkan kedua-dua ibu dan bayi, doktor membuat keputusan untuk melakukan kelahiran kecemasan pada 27 Mac.

Dilahirkan dalam keadaan sangat pramatang, bayi seberat 720 gram itu terus berdepan pelbagai komplikasi termasuk masalah pernafasan, hipertensi pulmonari dan jangkitan neonatal.

Sejurus dilahirkan, bayi itu memerlukan bantuan pernafasan sebelum dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU).

Hospital menyifatkan kelangsungan hidup bayi itu sebagai satu keajaiban yang terhasil daripada dedikasi tanpa henti pasukan doktor dan jururawat, selain semangat juang kedua-dua ibu bapanya.

Sepanjang hampir tiga bulan berada di NICU, bayi tersebut menjalani pelbagai rawatan intensif serta pemantauan berterusan.

Selepas berjaya melepasi fasa paling kritikal, dia tidak lagi memerlukan bantuan mesin pernafasan, mampu bernafas sendiri dan akhirnya boleh menyusu secara terus daripada ibunya.

Pada 22 Jun, bayi itu akhirnya dibenarkan pulang ke rumah. Pihak hospital turut menghadiahkan sejambak bunga sebagai tanda tahniah kepada keluarga tersebut.

Mereka juga menitipkan pesanan penuh menyentuh hati buat si kecil: “Semoga kamu sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik. Membesarlah dengan aman dan bahagia.

Sentiasalah ingat, sejak hari-hari pertama kehidupanmu, kamu sudah pun menjadi seorang pejuang yang berani,” tulis mereka.

Related Articles

Back to top button