Anak Sulung Rozita Che Wan Selamat Bernikah Pada 26.6.26

Pelakon dan usahawan, Rozita Che Wan tidak dapat menahan sebak apabila anak sulungnya, Ammar Effendy Azuar Effendy selamat bergelar suami kepada pilihan hati, Auni Ikhwan dalam majlis akad nikah yang berlangsung di GlamHall Damansara pada Sabtu.
Ammar, 30, dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan yang juga walinya, Ikhwan Hashim dengan sekali lafaz pada pukul 8.40 malam.
Majlis itu disaksikan Penolong Pendaftar Nikah dan Imam Masjid Damansara Perdana, Ustaz Abdus Salam Mahmud.
Pada majlis tersebut, Ammar menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300 selain wang hantaran berbentuk jongkong emas.
Kedua-dua keluarga turut berbalas tujuh dulang hantaran, manakala upacara membatalkan air sembahyang disempurnakan dengan hadiah cincin berlian seberat 1.8 karat.
Rozita atau mesra disapa Che Ta turut berkongsi nasihat kepada Ammar dan Auni agar sentiasa mempertahankan rumah tangga yang dibina.
“Tetaplah bersama walau dalam keadaan tidak sempurna dan apa sekalipun. Semoga Ammar menjadi suami yang melindungi, bukannya terlalu mengongkong. Buat Auni pula, jadilah isteri yang sentiasa mendampingi, bukan sekadar menemani.
“Dalam berumah tangga, kamu berdua perlu sentiasa berpegangan tangan dalam apa juga keadaan. Jangan lepaskan pegangan itu ketika susah atau berdepan cabaran.
“Kebahagiaan bukan mengenai pasangan yang tidak diuji, tetapi pasangan yang terus bersama walaupun diuji,” katanya.
Majlis akad nikah itu dihadiri lebih 200 tetamu terdiri daripada ahli keluarga dan kenalan rapat kedua-dua mempelai.
Ammar mengenakan persalinan serba putih rekaan Man Kajang, manakala Auni tampil anggun dalam busana sedondon hasil rekaan Zaimi Zulkifly.
Terdahulu, Ammar dan Auni selamat bertunang pada 25 Oktober tahun lalu.
Pasangan itu bakal diraikan dalam majlis resepsi bertemakan Black Tie di sebuah hotel di I-City, Shah Alam pada malam Ahad sebelum mengadakan majlis bertandang pada 4 Julai depan.



