Nota RM1 Daripada Murid Tahun 2 Buat Guru Sebak

Seorang guru baru-baru ini tersentuh hati apabila menemui sekeping nota tulisan tangan bersama wang kertas RM1 yang ditinggalkan oleh salah seorang muridnya di atas meja.
Walaupun jumlah itu mungkin kecil bagi sesetengah orang, kata-kata ringkas daripada kanak-kanak tersebut cukup untuk mencairkan hati ramai netizen.
Dalam nota itu, murid yang dikenali sebagai Adam mengucapkan terima kasih kepada gurunya kerana sering membelanjakannya.
Ditulis dengan tulisan tangan seorang kanak-kanak, nota tersebut berbunyi:
“Assalamualaikum cikgu. Terima kasih sebab selalu belanja saya. Hari ini biar saya belanja cikgu pula. Tak banyak tapi saya ikhlas.
Dari Adam.”
Bersama nota itu, Adam turut meninggalkan wang kertas RM1 untuk gurunya.
Guru berkenaan kemudian berkongsi di ruangan komen yang Adam merupakan murid tahun 2 yang sangat baik, sopan dan mempunyai sifat empati yang tinggi.
“Adam seorang budak yang sangat baik, sopan dan penuh empati walaupun baru berada di Tahun 2,” tulisnya.
Beliau berkata hadiah kecil itu amat menyentuh perasaannya sehingga merancang untuk membingkaikan wang kertas RM1 tersebut sebagai kenangan seumur hidup.
“Semoga Adam terus membesar menjadi anak yang soleh dan berjaya di dunia serta akhirat,” katanya.
Perkongsian itu segera meraih perhatian ramai pengguna media sosial yang menyifatkan nilai sebenar hadiah tersebut bukan terletak pada jumlah wang, tetapi pada keikhlasan hati seorang anak kecil.
Seorang netizen berkata sikap dan adab Adam jelas mencerminkan didikan yang baik daripada ibu bapanya, dan mungkin juga daripada para guru yang membimbingnya.
Seorang lagi netizen menulis: “Kata-kata dan adab itu mahal nilainya,” tulisnya.
Ramai turut menitipkan doa buat Adam agar terus membesar menjadi insan yang baik, berhati bersih dan berjaya pada masa hadapan.



