Berita

Dapur Dipenuhi Lipas Dan Tahi Tikus, 6 Premis Makanan Di Jalan Alor Diarah Tutup

Sebanyak enam premis makanan di Jalan Alor, Bukit Bintang, Kuala Lumpur diarahkan tutup selepas gagal memenuhi tahap kebersihan yang ditetapkan dalam satu operasi penguatkuasaan khas.

Operasi itu dijalankan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada 25 Jun lalu.

Menurut DBKL, operasi tersebut bertujuan memeriksa tahap kebersihan, keselamatan makanan serta pematuhan terhadap syarat pelesenan di premis-premis makanan di Jalan Alor.

Sebanyak 45 premis makanan telah diperiksa sepanjang operasi itu.

Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 74 notis dan kompaun dikeluarkan di bawah pelbagai akta dan undang-undang kecil, termasuk berkaitan pelesenan premis makanan, kawalan makanan, pelesenan perdagangan dan perniagaan, jalan serta bangunan, selain Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024.

Antara kesalahan yang dikesan ialah kegagalan menjaga kebersihan premis, tidak memasang atau menyelenggara perangkap minyak dengan baik, serta penemuan lipas dan najis tikus di kawasan dapur.

Selain itu, terdapat juga premis yang menyimpan makanan tidak mengikut spesifikasi, menggaji pekerja yang belum menerima suntikan tifoid serta pekerja yang tidak menghadiri kursus pengendalian makanan.

DBKL turut mengesan beberapa kesalahan lain berkaitan larangan merokok dan ketidakpatuhan terhadap syarat lesen.

Susulan itu, enam premis makanan diarahkan tutup mengikut Undang-Undang Kecil 28(1), Undang-Undang Kecil Pelesenan Establisymen Makanan (WPKL) 2016 selepas didapati gagal memenuhi standard kebersihan yang ditetapkan.

DBKL memaklumkan pihaknya akan terus mempergiat usaha penguatkuasaan bagi memastikan semua premis makanan di Kuala Lumpur mematuhi undang-undang, sekali gus menjamin kebersihan, keselamatan makanan dan kesejahteraan warga kota.

Related Articles

Back to top button