Anggrek & Adira Suhaimi Juara Talk To My Manager 2

Peserta termuda pertandingan, Anggrek mencipta kejutan apabila muncul juara program realiti Talk To My Manager musim kedua (TTMM2) bersama ibunya yang juga bertindak selaku pengurus iaitu penyanyi Adira Suhaimi.
Pada pentas akhir yang berlangsung di Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Anggrek yang baru berusia sembilan tahun memukau barisan juri menerusi persembahan solo lagu Aku Stacy sebelum bergandingan dengan Aisha Retno menerusi lagu Sutera.
Kemenangan tersebut melayakkan pasangan ibu dan anak itu membawa pulang wang tunai RM30,000 berserta trofi.
Adira menyifatkan kejayaan yang diraih anaknya adalah hasil usaha dan komitmen tinggi yang ditunjukkan sepanjang pertandingan berlangsung.
Tempat kedua pula menjadi milik pasangan Jamilulhayat dan anaknya, Hussain yang membawa pulang wang tunai RM15,000.
Sementara itu, usahawan Datuk Seri Vida bersama anaknya, Cik B, menamatkan saingan di tempat ketiga sekali gus membawa pulang RM10,000 serta trofi.
Datuk A. Aida bersama Azeva pula menduduki tempat keempat, manakala Safura dan anak lelakinya, Kim Khairii melengkapkan senarai lima terbaik.
Kedua-dua pasangan masing-masing menerima trofi serta hadiah wang tunai RM5,000.
Malam kemuncak TTMM2 dihoskan oleh Datuk Aznil Nawawi, manakala barisan juri tetap terdiri daripada Che Puan Sarimah Ibrahim dan Datuk AC Mizal, disertai juri jemputan Datuk Syafinaz Selamat serta Hael Husaini.
Seramai lima pasangan finalis berentap di pentas akhir selepas mengharungi persaingan selama sembilan minggu.



