Global

Ingatkan Rumah Sendiri, Rupanya Bukan… Individu Rugi RM117,000 Lepas Ubah Suai Unit Jiran

Seorang lelaki di wilayah Zhejiang, China, membelanjakan kira-kira 200,000 yuan (RM117,000) untuk mengubah suai dan menghias rumah baharu, sebelum mendapati bahawa rumah yang diubah suai sebenarnya milik jirannya.

Menurut laporan, dia hanya menyedari kesilapan tersebut sebelum berpindah masuk ke rumah berkenaan.

Ketika itu, dia telah menghabiskan lebih enam bulan melakukan kerja-kerja pengubahsuaian.

Menurut laporan, kekeliruan itu berpunca daripada kesilapan pemaju ketika proses penyerahan unit kediaman.

Pemaju didakwa memasang nombor rumah milik lelaki tersebut pada pintu rumah jirannya.

Nombor unit 104 yang sepatutnya milik lelaki itu telah dipasang pada pintu unit 103 yang dimiliki jirannya.

Bagaimanapun, kerana kedua-dua unit mempunyai susun atur yang hampir sama, lelaki itu didakwa tidak memeriksa nombor unit, pelan lantai dan orientasi rumah dengan teliti ketika menerima kunci.

Beranggapan unit yang mempunyai nombor tersebut adalah miliknya, dia kemudian memilih bahan binaan, memantau kerja pembinaan dan menyiapkan keseluruhan pengubahsuaian rumah yang sebenarnya milik jirannya.

Kesilapan itu hanya terbongkar lebih enam bulan kemudian ketika lelaki tersebut bersiap sedia untuk berpindah masuk.

Pemilik sebenar unit 103 dilaporkan datang untuk memeriksa rumahnya sebelum menerima unit berkenaan.

Dia terkejut apabila mendapati rumahnya telah siap diubah suai oleh individu lain.

Kedua-dua pihak akhirnya menyedari nombor unit telah dipasang pada rumah yang salah.

Berang dengan situasi tersebut, pemilik unit 104 menuntut pampasan. Namun, pihak-pihak yang terlibat gagal mencapai persetujuan mengenai tanggungjawab dan jumlah pampasan yang perlu dibayar.

Susulan itu, pemilik unit 104 memfailkan saman terhadap pemaju, selain menamakan syarikat pengurusan hartanah sebagai defendan bersama dan pemilik unit 103 sebagai pihak ketiga.

Hakim memutuskan pemaju yang gagal mengesahkan maklumat hartanah ketika proses penyerahan perlu memikul tanggungjawab utama.

Selain itu, syarikat pengurusan hartanah turut didapati cuai kerana gagal mengesan sebarang kejanggalan semasa proses penyerahan dan pemeriksaan susulan.

Bagaimanapun, hakim turut menyatakan lelaki berkenaan juga bertanggungjawab sebahagiannya kerana gagal menjalankan tanggungjawab sebagai pembeli untuk mengesahkan maklumat unit yang diterimanya.

Sementara itu, pemilik unit 103 didapati tidak bersalah kerana langsung tidak mengetahui mengenai kesilapan tersebut.

Beliau juga mempunyai hak untuk mengembalikan rumah itu kepada keadaan asal jika mahu.

Mahkamah kemudian melantik pihak pengantara dan syarikat pengubahsuaian untuk membuat penilaian.

Hasil penilaian mendapati kerja-kerja merobohkan pengubahsuaian yang telah dibuat hanya akan menyebabkan pembaziran.

Hal ini kerana bahan binaan dan mutu kerja yang digunakan didapati berkualiti tinggi serta telah meningkatkan nilai hartanah tersebut.

Sebagai penyelesaian akhir, pemaju bersetuju memberikan satu petak parkir kepada pemilik unit 104 sebagai pampasan, manakala syarikat pengurusan hartanah mengecualikan yuran penyelenggaraan selama dua tahun.

Selain itu, pemilik unit 103 yang akan mengekalkan struktur pengubahsuaian rumah tersebut bersetuju membayar 50,000 yuan (RM29,000) sebagai pampasan kos renovasi.

Pemilik unit 104 pula dibenarkan mengambil semula peralatan dan perabot yang boleh dialihkan sebelum kembali memiliki unit kediamannya yang sebenar.

Related Articles

Back to top button