Won Young IVE Teruskan Tindakan Undang-Undang Terhadap Komen Berniat Jahat

Anggota kumpulan IVE, Jang Won Young, meneruskan perjuangan undang-undangnya terhadap individu yang meninggalkan komen berniat jahat di internet.
Pada 18 Jun, agensinya, Starship Entertainment, memuat naik satu notis rasmi di media sosial bertajuk ‘Perkembangan Tindakan Undang-Undang Berkaitan Pelanggaran Hak Artis Kami’.
Syarikat itu memaklumkan pihak mereka sedang mengambil tindakan undang-undang terhadap hantaran berunsur fitnah dan kandungan berbahaya lain yang menyasarkan Jang Won Young. Dalam beberapa kes, identiti suspek telah pun dikenal pasti.
Bagi platform dalam negara, prosedur perundangan untuk mendapatkan maklumat pelanggan sedang dijalankan menerusi waran yang dikeluarkan mahkamah.
Untuk platform luar negara pula, agensi tersebut berkata, mereka sedang melaksanakan prosedur kerjasama antarabangsa bagi mengenal pasti pelaku yang terlibat.
“Kami terus mengumpul bukti berkaitan hantaran dan tindakan yang melanggar hak artis kami,” ujar seorang wakil Starship Entertainment.
Agensi itu turut menegaskan yang mereka mengambil tindakan undang-undang tegas terhadap pelbagai perbuatan menyalahi undang-undang termasuk penghinaan, fitnah, penyebaran maklumat palsu dan pencerobohan privasi.
“Tidak kira sama ada hantaran dipadamkan, akaun dinyahaktifkan atau profil ditukar kepada mod peribadi, kami akan menuntut pertanggungjawaban undang-undang sehingga ke penghujung,” tegas mereka.
Sebelum ini, syarikat tersebut telah berjaya memperoleh sabitan terhadap beberapa pencipta kandungan berniat jahat.
Antara kes paling mendapat perhatian melibatkan Sojang, sebuah saluran kontroversi yang menghasilkan video berunsur fitnah yang menyasarkan Jang Won Young.
Pihak Jang Won Young telah mengambil tindakan undang-undang secara sivil dan jenayah terhadap saluran tersebut.
Selepas melalui tiga peringkat prosiding mahkamah, keputusan bersalah akhirnya dimuktamadkan.
Pengendali saluran itu dijatuhi hukuman penjara dua tahun, namun pelaksanaannya ditangguhkan selama tiga tahun.
Sementara itu, IVE dijadualkan membuat persembahan dalam konsert sambutan sempena 2026 World Masters Athletics Championships yang akan berlangsung pada 21 Ogos di Daegu.



