Elica Paujin Minta Berhenti Dibangdingkan Dengan Aisha Retno

Penyanyi, Elica Paujin, 26, tampil menjawab perbandingan yang sering dibuat netizen antara dirinya dan rakan seperjuangan, Aisha Retno dengan menegaskan setiap anak seni mempunyai perjalanan, rezeki dan masa yang berbeza dalam membina kerjaya.
Menurut Elica, tiada keperluan untuk membandingkan pencapaian seseorang kerana setiap individu berkembang mengikut fasa masing-masing.
“Berbeza individu, perjalanan dan waktunya. Hidup ini terlalu singkat untuk terus membandingkan diri dengan orang lain.Sebaliknya, raikan setiap kejayaan dan hargai rezeki yang hadir.
“Semoga Tuhan mengurniakan hati yang lebih penuh dengan rasa syukur daripada perbandingan, lebih banyak kebaikan daripada penghakiman dan ketenangan daripada segala bentuk negatif.
“Saya cuba memanfaatkan setiap peluang yang datang dan jika diberi peluang untuk berada di seluruh pelosok Malaysia, pasti akan lakukannya,” katanya dalam sebuah hantaran di Threads.
Dalam pada itu, pelantun lagu Oh Huminodun itu turut menegaskan dia sentiasa berusaha mengembangkan kerjaya seninya dan tidak pernah mengambil mudah setiap peluang yang diterima.
Malah, katanya, sokongan yang diberikan peminat dari seluruh negara sejak menyertai program Big Stage musim ke-4 sehingga hari ini menjadi pembakar semangat untuk terus memberikan yang terbaik.
“Saya masih berusaha ke arah itu dan sangat bersyukur atas segala sokongan yang diterima dari seluruh negara.
“Sejak zaman Big Stage sehinggalah hari ini, kasih sayang yang diberikan masyarakat dari setiap penjuru Malaysia amat saya hargai dan tidak akan dilupakan.
“Jadi, bersihkan hati ya. Terima kasih juga atas sokongan dan ingatan,” ujarnya.
Mengulas mengenai namanya yang sering dikaitkan dengan Aisha Retno, Elica menjelaskan hubungan mereka berada dalam keadaan baik dan tidak pernah timbul sebarang perselisihan.
Sebaliknya, dia mengakui gembira melihat kejayaan yang dikecapi penyanyi lagu Sutera itu dan menyifatkan mereka sentiasa saling memberi sokongan antara satu sama lain.
“Kami saling menyokong antara satu sama lain dan langsung tidak mempunyai sebarang masalah.
“Saya gembira dan bangga melihat pencapaiannya hari ini. Biasalah, netizen memang selalu suka buat andaian sendiri,” katanya.
Terdahulu, nama Elica kembali menjadi bualan di media sosial selepas segelintir netizen membandingkan perjalanan kariernya dengan Aisha Retno yang dilihat lebih menyerlah dalam industri muzik ketika ini.
Untuk rekod, Elica muncul sebagai juara Big Stage 4 pada 2022, manakala Daniel Chuer menduduki tempat kedua dan Aisha Retno menamatkan saingan di tempat ketiga.



