Drama

Terpalit Kontroversi, Projek Blu-ray Bagi Drama IU dan Byeon Woo Seok Dibatalkan

Keluaran Blu-ray bagi drama MBC, Perfect Crown, secara rasmi dibatalkan selepas berbulan-bulan berdepan kontroversi berkaitan ketidaktepatan sejarah yang dipaparkan dalam siri tersebut.

Pasukan promosi Blu-ray drama itu mengumumkan menerusi kafe peminat rasmi baru-bari ini bahawa selepas meneliti pelbagai faktor, projek tersebut tidak akan diteruskan.

Pasukan itu turut menggesa peminat supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak disahkan atau membuat spekulasi mengenai keputusan berkenaan.

Selepas drama itu tamat bersiaran, tempahan awal Blu-ray telah dibuka pada 8 Jun bagi memenuhi permintaan peminat. Bagaimanapun, projek tersebut akhirnya gagal mengatasi kritikan berterusan yang membelenggu siri itu sepanjang tempoh tayangannya.

Semua tempahan awal dilaporkan akan dibatalkan dan bayaran akan dipulangkan pada 18 Jun.

Berlatarbelakangkan sebuah monarki berperlembagaan fiksyen pada abad ke-21, Perfect Crown mencetuskan keterujaan tinggi sebelum tayangan perdana hasil gandingan dua bintang terkenal, IU dan Byeon Woo Seok.

Namun, di sebalik sambutan awal yang menggalakkan, drama itu kemudiannya menjadi sasaran kritikan berkaitan mutu lakonan serta ketidaktepatan sejarah.

Antara adegan yang paling mencetuskan kontroversi ialah upacara pertabalan Putera Besar Ian. Walaupun kerajaan fiksyen dalam drama itu digambarkan sebagai pewaris kepada Empayar Korea, penonton mempersoalkan penggunaan mahkota istiadat yang dikaitkan dengan negara naungan dan bukannya maharaja.

Selain itu, pegawai istana dalam adegan tersebut dilihat melaungkan Cheonse berbanding laungan diraja “Manse”, sekali gus mencetuskan perdebatan dan kritikan meluas dalam talian.

Apabila kontroversi semakin memuncak, pengarah Park Joon Hwa, penulis Yoo Ji Won serta barisan pelakon tampil memohon maaf secara terbuka.

Namun begitu, kritikan yang berterusan terus membayangi drama tersebut sehingga membawa kepada pembatalan keluaran Blu-ray yang dirancang.

Keputusan itu menandakan pengakhiran yang mengecewakan bagi sebuah drama yang pada awalnya dianggap antara produksi paling dinanti-nantikan tahun ini, namun gagal bangkit daripada kritikan yang berlarutan sepanjang tempoh tayangannya.

Related Articles

Back to top button