“Duit Simpanan Dah Habis” – Salih Yaacob Hidup Sederhana, Enggan Menyusahkan Tiga Isteri

Penghibur versatil, Salih Yaacob, 65, mendedahkan segala wang simpanan yang dimilikinya kini sudah habis digunakan bagi menampung kehidupan selepas tujuh tahun tidak lagi aktif dalam industri seni.
Tetap bersyukur dengan rezeki yang ada, pemilik nama sebenar Mohammad Salih Yaacob, berkata dia kini menjalani kehidupan secara sederhana tanpa sumber pendapatan tetap selain bergantung kepada bantuan dan rezeki yang hadir daripada pelbagai pihak.
Menurut bekas penyampai radio itu, walaupun tidak lagi menerima tawaran pekerjaan seperti suatu ketika dahulu, dia percaya setiap manusia sudah ditentukan rezeki masing-masing oleh Allah SWT.
“Dulu ada tawaran kerja, sekarang apa yang orang bagi itulah rezeki saya. Saya hidup ala kadar sahaja.
“Saya tak mahu mengharapkan bantuan orang. Kalau nak berharap, biarlah Allah yang membantu.
“Memang duit simpanan semua sudah habis, tetapi alhamdulillah walaupun sudah tujuh tahun saya tidak bekerja, bekalan beras di rumah tak pernah putus. Ada sahaja yang menghulurkan bantuan,” katanya.
Salih berkongsi perkara itu ketika ditemui pada program Ziarah Seni Madani anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), pada Jumaat.
Dalam pada itu, Salih yang kini berdepan masalah tekanan darah tinggi menegaskan dia tidak pernah merasakan dirinya berada dalam keadaan terlalu susah meskipun berdepan cabaran hidup sejak kebelakangan ini.
“Saya tak pernah rasa hidup ini terlalu sesak. Dari dulu memang saya ikut apa yang ada.
“Lagipun saya tak mahu menyusahkan isteri-isteri saya. Apa yang ada, itulah yang kami gunakan,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Salih turut menerima kunjungan Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching yang menyampaikan bantuan berupa bakul makanan dan wang tunai selain memberi sokongan moral kepada penghibur berkenaan yang kini kurang sihat.
Turut hadir Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac serta Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Warga Industri, Kebajikan dan Data Industri Finas yang juga Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Zed Zaidi.
Menurut Teo, kunjungan tersebut dilakukan selepas pihaknya mendapat maklumat mengenai keadaan kesihatan Salih yang semakin merosot termasuk masalah tekanan darah tinggi, penglihatan yang semakin lemah dan pergerakan yang terbatas.
“Kami berharap sumbangan ini dapat memberi sedikit semangat untuk beliau terus positif dan menjalani kehidupan dengan lebih baik.
“Apabila mengetahui keadaan kesihatannya yang kurang memuaskan, Finas mengambil inisiatif untuk menziarahinya dan menyampaikan bantuan yang diperlukan,” katanya.
Untuk rekod, program Ziarah Seni Madani yang diperkenalkan sejak 2023 telah membantu seramai 216 penggiat seni dengan jumlah sumbangan keseluruhan mencecah RM164,000, termasuk 36 penerima pada tahun ini.
Sebelum ini, Salih dilaporkan menerima rawatan di Hospital Ampang selepas mengalami komplikasi tekanan darah tinggi secara tiba-tiba.
Penghibur yang pernah menceriakan dunia hiburan tanah air itu kini meneruskan kehidupan bersama tiga isterinya serta keluarga besar yang terdiri daripada 12 cahaya mata dan 18 cucu.



