Lagu Baharu

‘Back To Malaysia’ Refleksi Perjalanan Salomé

Penyanyi pop Perancis-India, Salomé Das, membuka lembaran baharu dalam kerjayanya apabila melancarkan lagu berjudul Back 2 Malaysia baru-baru ini.

Naskhah tersebut sarat dengan elemen nostalgia serta penghargaan terhadap Malaysia, sebuah negara yang dianggap menjadi rumah dan membentuk identitinya sejak kecil.

Menariknya, Back 2 Malaysia bukan sekadar sebuah lagu cinta terhadap tanah air, tetapi juga refleksi perjalanan hidup Salomé sebagai seorang yang bergelar ‘third culture child’.

Dilahirkan di Munich, Jerman dan dibesarkan di Kuala Lumpur sejak berusia tiga bulan, Salomé membesar dengan pengaruh tiga budaya berbeza iaitu Perancis, India dan Malaysia.

Menggabungkan instrumen tradisional Malaysia dan Asia bersama sentuhan produksi pop global yang moden, lagu itu membawa pendengar menyelami kenangan zaman kanak-kanak yang penuh warna, kehangatan budaya, makanan, lautan dan semangat kebebasan yang menjadi sebahagian daripada dirinya.

Menurut Salomé, lagu tersebut lahir daripada rasa rindu yang sentiasa dibawanya walau ke mana sahaja dia pergi.

“Tak kira ke mana saya pergi di dunia ini, saya sentiasa membawa Malaysia bersama saya. Melalui makanan, budaya, kehangatan, alam semula jadi dan semangat bebas yang sentiasa saya rindui. 

“Bagi saya, Malaysia sentiasa terasa seperti kegembiraan, warna, nostalgia dan rumah. Lagu ini menangkap perasaan itu, tentang kebebasan, cahaya matahari dan pulang ke tempat yang akan sentiasa kekal dalam diri kita,” katanya.

Perjalanan menuju pelancaran Back 2 Malaysia juga bukan sesuatu yang mudah. 

Menyurusi kembali sejarah perjalanan seninya, bekas model elit itu pernah menghabiskan lima tahun di London sebelum mula memperkenalkan bakat nyanyiannya menerusi Life Is Simple.

Hasilnya, lagu tersebut mencatatkan lebih 90 juta strim di Spotify serta membawanya membuat persembahan di sebuah stadium di Mumbai di hadapan lebih 8,000 penonton.

Namun selepas kejayaan tersebut, Salomé mengambil masa hampir dua tahun untuk mencari identiti muzik, rakan koloberasi dan hala tuju kreatif yang benar-benar mencerminkan dirinya. 

Pencarian itu akhirnya menemukan jawapan menerusi Back 2 Malaysia, yang dirakamkan di Los Angeles pada 2026 dan disifatkannya sebagai sebuah karya yang terasa seperti ‘pulang ke rumah’ sejak not pertama dimainkan.

Selain muzik, Salomé turut dikenali dengan imej visual yang unik apabila sering menggabungkan elemen warisan Asia dalam penampilannya. 

Perhiasan India, batik, sarung dan bindi menjadi identiti yang dibawanya ke setiap pentas, sekali gus mencerminkan latar budaya yang membentuk dirinya.

Dengan personaliti ceria dan aura tersendiri, Salomé kini membawa misi besar untuk meningkatkan representasi Asia dalam industri muzik global. 

Malah, penyanyi itu menyimpan impian untuk muncul sebagai bintang pop India pertama bertaraf global sambil membuka lebih banyak ruang buat artis Asia menembusi pasaran antarabangsa.

Naskhah Back 2 Malaysia bukan sahaja menandakan debut solo Salomé Das, tetapi juga sebuah surat cinta kepada Malaysia yang sentiasa menjadi sebahagian daripada dirinya.

Related Articles

Back to top button