M. Jamil Buang Jari Kelingking Kaki Kiri

Pengarah dan pelakon veteran, M. Jamil, 63, selamat menjalani pembedahan membuang jari kelingking kaki kiri akibat komplikasi gangren di Hospital Cyberjaya pada Jumaat.
Anaknya, Batrisya memaklumkan bapanya dimasukkan ke hospital sejak tiga hari lalu selepas keadaan jarinya semakin teruk dipercayai berpunca daripada penyakit diabetes yang dihidapinya.
Menurut Batrisya, prosedur pembedahan tersebut bermula kira-kira jam 10.30 malam dan bapanya kini masih menerima rawatan serta pemantauan lanjut di hospital.
“Saya dan kakak bawa ayah ke hospital untuk jalani prosedur itu. Pembedahan berlangsung pada jam 10.30 malam tadi. Ayah masih dirawat dan belum dibenarkan pulang.
“Keadaan jari kelingking kiri ayah bermula dengan luka kecil, tetapi lama-kelamaan menjadi semakin serius. Sebelum ini ayah ada buat rawatan cuci luka sendiri,” katanya.
Bagaimanapun, Batrisya bersyukur kerana hanya jari kelingking terpaksa dibuang dan jari-jari lain berada dalam keadaan baik.
“Alhamdulillah, hanya jari itu sahaja yang dibuang. Jari lain tiada masalah dan kami harap semuanya akan kembali okay,” katanya lagi seperti dilapor Harian Metro.
Terdahulu, anak kepada seniwati terkenal, Datuk Sarimah Ahmad itu dilaporkan mengalami strok sejak lapan tahun lalu sehingga menyebabkan pergerakannya menjadi terbatas.
Keadaan kesihatannya juga membuatkan dia tidak lagi mampu aktif bekerja dan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak selain banyak menghabiskan masa di rumah.



