Wanita & 3 Penjamin Diperintah Bayar Balik MARA RM857,000 Lepas Gagal Habiskan PhD Di Universiti Cambridge

Seorang wanita bersama tiga orang penjaminnya diperintahkan membayar semula RM857,000 pinjaman pengajian tertunggak kepada MARA selepas gagal menamatkan pengajian doktor falsafah (PhD) di Universiti Cambridge.
Menurut laporan Free Malaysia Today, Mahkamah Tinggi di Sungai Petani menolak rayuan mereka terhadap keputusan Mahkamah Sesyen sebelum ini yang mengarahkan mereka membayar semula jumlah tersebut kepada Majlis Amanah Rakyat (MARA).
Wanita berusia 45 tahun itu, dikenali sebagai Siti Norbaya Ahmad Nor, mula menerima pinjaman MARA pada tahun 2011 untuk melanjutkan pengajian sarjana di University of Manchester.
Beliau kemudian menerima pinjaman kedua daripada MARA pada tahun 2013 bagi mengikuti pengajian PhD di University of Cambridge.
Tiga penjaminnya iaitu Siti Zaliha Ahmad Nor, Siti Farhana Ahmad Nor dan Jamilah Long telah menandatangani kedua-dua perjanjian pinjaman tersebut sebagai penjamin.
MARA kemudiannya memfailkan tindakan undang-undang selepas mendakwa Siti Norbaya gagal membuat bayaran balik pinjaman berkenaan.
Menurut laporan itu, surat tawaran dan perjanjian pinjaman tahun 2013 dengan jelas menetapkan bahawa Norbaya perlu menamatkan pengajian PhD dalam tempoh empat tahun.
Dalam surat bertarikh 15 Februari 2017, Norbaya mengakui tidak dapat menamatkan pengajian doktor falsafahnya dalam tempoh tajaan yang ditetapkan. MARA kemudian memberikan lanjutan masa sehingga Ogos 2017. Bagaimanapun, dia masih gagal menamatkan program tersebut.
Pesuruhjaya Kehakiman Darmafikri Abu Adam berkata kegagalan Norbaya menamatkan pengajian PhD dalam tempoh empat tahun tujuh bulan merupakan pelanggaran kontrak.
Sehubungan itu, mahkamah memutuskan bahawa MARA berhak menuntut keseluruhan jumlah pinjaman berdasarkan perjanjian pinjaman tahun 2013.
Dalam rayuan mereka, Norbaya dan tiga penjamin berhujah bahawa dia telah menamatkan pengajian sarjana dalam tempoh yang ditetapkan.
Mereka juga mendakwa tuntutan MARA di bawah perjanjian pinjaman tahun 2011 telah luput mengikut Akta Had Masa 1953.
Namun, Mahkamah Tinggi menolak hujah tersebut. Darmafikri berkata MARA mempunyai budi bicara kontrak untuk menentukan bila bayaran balik perlu dibuat.
Dia juga mendapati tindakan undang-undang yang difailkan MARA pada tahun 2022 masih berada dalam tempoh yang dibenarkan oleh undang-undang.
Mahkamah turut mengambil maklum bahawa Mahkamah Sesyen sebelum ini mendapati Norbaya masih belum menamatkan pengajian PhD ketika perbicaraan berlangsung.
Darmafikri berkata niat kedua-dua pihak telah jelas sejak awal, dan Siti Norbaya tidak boleh mentafsirkan perjanjian secara berbeza semata-mata untuk mengelakkan tanggungjawab membayar balik pinjaman tersebut.
Dia turut menegaskan bahawa ketiga-tiga penjamin terikat dengan perjanjian yang telah mereka tandatangani.
Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa rayuan itu tidak mempunyai merit dan keputusan Mahkamah Sesyen adalah munasabah, disokong oleh bukti serta tidak menunjukkan sebarang kesilapan yang nyata.
Selain itu, para perayu turut diperintahkan membayar kos sebanyak RM10,000 kepada MARA.
Kes ini sejak itu menarik perhatian orang ramai di media sosial, dengan ramai membincangkan risiko menjadi penjamin pinjaman pendidikan.
Sesetengah netizen menyatakan bahawa pengajian pascasiswazah, khususnya PhD, sememangnya sukar diselesaikan dalam tempoh masa yang ditetapkan.
Bagi yang lain pula berpendapat kes ini menjadi peringatan bahawa perjanjian pinjaman serta tanggungjawab sebagai penjamin perlu difahami dan dipertimbangkan dengan teliti sebelum menandatangani sebarang kontrak.



