Teka-Teki Terjawab, Aisha Retno Sah Jadi Puteri Gunung Ledang

Penyanyi, Aisha Retno, 25, akhirnya diumumkan sebagai pemegang watak utama Puteri Gunung Ledang bagi pementasan teater Puteri Gunung Ledang The Musical, sekali gus menjawab teka-teki yang hangat diperkatakan peminat sejak kebelakangan ini.
Pengumuman rasmi itu dibuat menerusi hantaran terbaharu di Instagram produksi teater berkenaan lantas mengundang keterujaan ramai, khususnya dalam kalangan pencinta seni teater tempatan.
Pemilihan Aisha dilihat sebagai satu langkah berani memandangkan watak Puteri Gunung Ledang cukup ikonik dan pernah meninggalkan impak besar menerusi lakonan Tiara Jacquelina sebelum ini.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa tidak sabar untuk melihat kemampuan penyanyi tersebut menghidupkan karakter legenda berkenaan di atas pentas.
Malah, ramai menyifatkan Aisha mempunyai aura tersendiri yang sesuai untuk membawa watak Puteri Gunung Ledang, lebih-lebih lagi dengan kekuatan vokal dan penghayatan emosinya.
Dalam masa sama, pihak produksi turut tampil dengan pembaharuan menarik apabila mengumumkan pementasan kali ini bakal menampilkan dua pelakon bagi watak Puteri Gunung Ledang selain dua karakter Bayan.
Penyanyi Mimi Fly dan pelakon Nadiah Aqilah pula dipilih membawakan watak Bayan yang turut menjadi antara karakter penting dalam penceritaan teater tersebut.
Sementara itu, Luqman Hafidz akan memegang watak Sultan Melaka manakala Yusuf Hashim membawa karakter Gusti Adipati.
Puteri Gunung Ledang The Musical sebelum ini pernah mencetuskan fenomena tersendiri menerusi penceritaan epik, visual memukau serta kekuatan barisan pelakonnya sehingga menjadi antara pementasan teater paling diingati dalam industri seni tempatan.



