Music

Dianggap Paling Layak Pegang Gelaran ‘Raja Rock Negara’, Amy Hargai Pandangan Awie

Penyanyi rock legenda, Datuk Amy Search mengakui dirinya tidak pernah terlalu memikirkan soal gelaran sepanjang lebih 40 tahun bergelar anak seni, termasuk apabila namanya sering dikaitkan dengan panggilan ‘Raja Rock Negara’.

Mengulas kenyataan Awie yang menyifatkannya sebagai individu paling layak menyandang gelaran tersebut, Amy berkata dia berbesar hati dengan penghargaan itu, namun memilih untuk terus merendah diri.

“Terima kasih atas penghormatan itu. Tapi bagi saya, saya hanya menjalankan tanggungjawab sebagai penggiat seni dan terus berkarya sebaik mungkin.

“Macam mana orang mahu melihat atau menilai saya, itu hak masing-masing. Saya cuma mahu hasilkan karya dengan ikhlas dan biarlah peminat sendiri menentukan kedudukan saya,” katanya.

Menurut vokalis kumpulan Search itu lagi, dunia seni bukan medan persaingan sehingga perlu mengejar pangkat atau pengiktirafan tertentu.

“Saya tak pernah anggap industri ini sebagai tempat untuk berlumba. Saya masuk dunia seni bukan untuk bersaing dengan sesiapa.

“Setiap orang ada perjalanan sendiri dan kita yang menentukan bagaimana mahu mencorakkan kehidupan serta kerjaya masing-masing.

“Yang penting, lakukan apa yang kita suka dengan sebaik mungkin dan nikmati perjalanan itu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Amy turut berpendapat ramai figura senior dalam industri muzik tempatan layak dianggap sebagai ‘otai rock’ kerana jasa dan pengaruh mereka yang besar terhadap perkembangan muzik tanah air.

“Kalau bercakap soal otai rock, memang ramai nama besar yang layak diberi penghormatan seperti Ramli Sarip dan ramai lagi artis lama yang banyak menyumbang kepada industri,” katanya.

Terdahulu, Awie menyatakan Amy merupakan figura paling sesuai diangkat sebagai ‘Raja Rock Negara’ kerana peranannya sebagai antara pelopor awal muzik rock di Malaysia sejak era 1980-an.

Malah, Awie turut menyifatkan Amy sebagai ikon utama muzik rock tempatan yang selayaknya dianggap sebagai ‘Godfather’ dalam genre berkenaan.

Related Articles

Back to top button