Music

Kmy Kimo Anggap Tak Salah Guna AI Dalam Berkarya

Penyanyi dan komposer Kmy Kimo berpendapat penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam penghasilan karya seni tidak seharusnya dilihat sebagai sesuatu yang negatif selagi digunakan secara berhemah.

Menurut pemilik nama sebenarnya Lukmanul Hakim, perkembangan teknologi moden wajar diterima sebagai sebahagian daripada evolusi dunia kreatif dan bukannya terus ditolak mentah-mentah.

“Tak salah untuk kita meraikan kemajuan teknologi. Sebab manusia tetap ada emosi dan jiwa sebenar yang tak boleh diganti,” katanya menerusi satu hantaran.

Tambah finalis Anugerah Juara Lagu ke-40 itu lagi, orang ramai sepatutnya lebih terbuka untuk mengkaji serta mencuba sendiri teknologi tersebut sebelum membuat sebarang penilaian.

“Cuba buat eksperimen dan tengok sendiri hasilnya. Sekarang ini kita hidup dalam zaman semua orang rasa mereka boleh buat apa sahaja.

“Sampai kadang-kadang debat pun dah jadi tak menarik. Jadi, buatlah apa yang anda rasa mahu buat,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Kmy percaya sesebuah karya tetap mempunyai nilai tersendiri sekiranya mampu memberi kesan positif kepada masyarakat.

“Selagi karya itu memberi manfaat dan impak yang baik kepada orang lain, maka ia tetap sesuatu yang positif. Karyawan ada pendekatan masing-masing, begitu juga peniaga,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button