Trending

Anak Allahyarham Ahmad Nawab Dakwa Uji Rashid Putar Belit Cerita

Anak kepada komposer legenda, Allahyarham Ahmad Nawab iaitu Nasir tampil bersuara apabila mendakwa kenyataan yang dikeluarkan penyanyi Uji Rashid dalam sebuah podcast baru-baru ini tidak mencerminkan situasi sebenar.

Menurut Nasir, dakwaan tersebut bukan sahaja tersasar daripada fakta, malah menyinggung perasaan seluruh ahli keluarga yang masih menghormati legasi arwah.

Katanya, sebagai waris, mereka terkilan apabila cerita yang dianggap tidak benar dikongsikan kepada umum, apatah lagi melibatkan individu yang sudah tiada untuk mempertahankan diri.

“Sebagai keluarga, kami memang terasa dengan apa yang diperkatakan. Sepatutnya perkara seperti itu tidak berlaku kerana ia tidak benar.

“Orang akan lebih hormat jika bercakap perkara yang betul. Saya sendiri tidak faham kenapa perlu mereka-reka cerita seperti itu,” katanya.

Terdahulu, Uji dalam satu sesi podcast berkongsi pengalaman bekerjasama dengan beberapa figura besar industri muzik tempatan, termasuk Allahyarham Ahmad Nawab.

Dalam pendedahan itu, Uji mendakwa komposer berkenaan pernah melabelkannya sebagai penyanyi yang tidak mengenang budi, sekali gus memberi gambaran hubungan mereka tidak baik.

Mengulas lanjut, Nasir berpendapat kenyataan sedemikian bukan sahaja boleh menjejaskan reputasi arwah bapanya, malah turut membabitkan nama-nama besar lain yang juga telah meninggal dunia.

“Tindakan itu seolah-olah membuka aib orang yang telah meninggal dunia. Bukan sahaja bapa saya, malah nama beberapa artis lain seperti Allahyarham Sharifah Aini dan Broery Marantika turut disebut.

“Bagaimana hendak memperbetulkan keadaan sedangkan mereka semua sudah tiada untuk menjawab? Jadi janganlah bercakap perkara yang tidak benar,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, Nasir turut menegaskan ramai mengetahui sumbangan besar Allahyarham Ahmad Nawab dalam membentuk kerjaya ramai penyanyi tanah air, termasuk Uji sendiri.

Malah, Nasir menyifatkan lagu Kali Terakhir Ku Lihat Wajahmu sebagai antara karya penting yang memberi impak besar, namun mendakwa kisah di sebalik lagu tersebut telah disalah tafsir.

“Memang ada kisah di sebalik lagu itu, tetapi apa yang diceritakan sudah diputarbelitkan,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Nasir memaklumkan dia ada menerima jemputan daripada pihak podcast terbabit untuk tampil memberi penjelasan balas. Namun, dia memilih untuk tidak memanjangkan polemik tersebut.

Related Articles

Back to top button