Music

HYBE, SM, JYP & YG Tubuh Usaha Sama Realisasikan Festival Muzik Lebih Bagus Berbanding Coachella

Empat syarikat hiburan terbesar Korea Selatan iaitu HYBE, SM Entertainment, JYP Entertainment dan YG Entertainment sedang meneruskan perancangan untuk menubuhkan sebuah usaha sama bagi menghasilkan festival muzik global. Langkah ini dilihat sebagai perubahan besar dalam strategi global industri K-Pop.

Menurut laporan Business Post, keempat-empat syarikat tersebut telah mengemukakan permohonan penggabungan perniagaan kepada Korea Fair Trade Commission sebagai sebahagian daripada proses menubuhkan entiti baharu yang akan memberi fokus kepada penganjuran konsert dan produksi festival.

Permohonan ini diperlukan kerana HYBE diklasifikasikan sebagai sebahagian daripada konglomerat besar dengan aset melebihi 5 trilion won, manakala SM Entertainment pula berkait dengan Kakao yang juga tergolong sebagai kumpulan korporat utama.

Usaha sama yang dirancang ini akan dibiayai secara sama rata oleh keempat-empat syarikat. Namun, perincian penting seperti pelantikan CEO dan struktur lembaga pengarah masih belum dimuktamadkan. Entiti baharu ini dijangka memainkan peranan utama dalam merealisasikan projek ‘Phenomenon’.

Nama ‘Phenomenon’ gabungan perkataan “fan” dan “phenomenon” melambangkan konsep gerakan budaya berskala besar yang dipacu oleh fandom global. Projek ini diterajui oleh Park Jin Young atau J.Y. Park, yang merupakan pengerusi Jawatankuasa Pertukaran Budaya Popular.

DIa pertama kali memperkenalkan konsep ini pada 1 Oktober 2025 di KINTEX, Goyang. Menurut perancangan awal, selepas kira-kira dua tahun persiapan, festival ini dijangka debut di Korea Selatan pada Disember 2027 sebagai acara mega tahunan yang menampilkan artis daripada keempat-empat agensi tersebut.

Bermula Mei 2028, ia dirancang untuk berkembang menjadi festival jelajah global di bandar-bandar utama seluruh dunia.

J.Y. Park menyasarkan ‘Phenomenon’ untuk mengatasi festival bertaraf dunia seperti Coachella Valley Music and Arts Festival. Visi beliau termasuk membina platform persembahan K-pop bertaraf dunia serta menjadikannya sebagai harta intelek budaya utama Korea Selatan.

Inisiatif ini selari dengan hala tuju dasar budaya di bawah pentadbiran Lee Jae Myung yang menekankan pembangunan K-culture sebagai enjin pertumbuhan masa depan, melalui model kerjasama awam-swasta.

Secara global, festival seperti Lollapalooza di Amerika Syarikat, Glastonbury Festival di United Kingdom dan Fuji Rock Festival telah menjadi aset budaya penting yang memacu pelancongan dan penjenamaan bandar.

‘Phenomenon’ dijangka mengikuti jejak tersebut, namun dengan fokus lebih kuat terhadap penglibatan fandom. Dengan melangkaui model pendapatan konsert tradisional, projek ini berpotensi menjadi titik perubahan bagi industri K-pop, sekali gus membentuk ekosistem festival global yang berteraskan peminat.

Sumber: Allkpop

Related Articles

Back to top button