Fikry Ibrahim Mengaku Sambut Raya Berasingan Dengan Isteri

Pelakon dan pengacara, Fikry Ibrahim, 32, menepis spekulasi kononnya rumah tangganya kembali bergolak hanya kerana tidak berkongsi foto bersama isteri ketika sambutan Aidilfitri, baru-baru ini.
Pemilik nama penuh Ahmad Fikry Ahmad Ibrahim, menegaskan tanggapan segelintir pihak itu tidak berasas dan menganggapnya sekadar andaian liar yang timbul daripada pemerhatian di media sosial semata-mata.
Menurutnya, perkongsian di platform digital bukanlah cerminan sebenar keadaan sesebuah hubungan, apatah lagi dijadikan ukuran kepada keharmonian rumah tangga.
“Dakwaan mengatakan hubungan kami berantakan itu tidak benar. Saya percaya ia timbul hanya kerana saya tidak berkongsi gambar bersama isteri.
“Kalau ikut logik itu, cuba lihat bila kali terakhir saya muat naik gambar bersama ibu. Adakah itu bermakna saya bergaduh dengan ibu? Sudah tentu tidak,” katanya.
Tambah Fikry, dia dan isteri sememangnya memilih untuk tidak terlalu terbuka berkongsi kehidupan peribadi di media sosial, walaupun masih terdapat beberapa foto lama mereka bersama yang dikekalkan di Instagram.
Mengulas lanjut mengenai sambutan Aidilfitri, Fikry menjelaskan mereka menyambut lebaran secara berasingan tahun ini atas faktor komitmen keluarga masing-masing.
“Isteri pulang ke Sarawak kerana giliran beraya di sana, manakala saya pula perlu menjaga ibu di sini, tambahan pula pakcik saya kurang sihat akibat strok.
“Saya izinkan dia pulang, tetapi selepas itu kami tetap berjumpa. Malah sebelum raya, kami sempat meluangkan masa bersama membeli persiapan Aidilfitri,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Fikry menegaskan dia tidak bercadang untuk mengubah prinsipnya yang lebih selesa menjaga privasi kehidupan peribadi daripada tatapan umum.
“Saya rasa cukuplah setakat ini. Sebelum berkahwin pun saya tidak pernah berkongsi terlalu banyak, jadi saya akan kekalkan prinsip yang sama.
“Di media sosial, saya lebih selesa berkongsi mengenai ibu sahaja. Ahli keluarga lain jarang saya kongsikan kerana mahu menjaga privasi mereka,” ungkap aktor itu lagi.
Mengulas mengenai pelbagai dakwaan tidak benar yang tular, termasuk gosip kononnya dia keluar ‘dating’ dengan jurusolek, Fikry memilih untuk tidak melayan perkara tersebut.
“Ada macam-macam cerita timbul, termasuk dakwaan saya keluar dengan jurusolek, yang bagi saya langsung tidak masuk akal.
“Kalau saya layan atau jawab, perkara itu akan jadi lebih panjang. Jadi lebih baik saya fokus kepada perkara yang lebih penting.
“Pada awalnya mungkin isteri terkejut dengan dakwaan itu, tetapi saya minta dia tidak melayan perkara seperti ini. Alhamdulillah, komunikasi kami sangat baik.
“Saya juga bersyukur kerana keluarga dan mentua sangat matang serta sentiasa memberi sokongan,” jelasnya.



