Berita

Siti Nurhaliza Terlibat Kemalangan Jalan Raya

Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza berdepan detik cemas apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya pada petang Khamis.

Pengurusnya, Rozi Abdul Razak memaklumkan kejadian itu berlaku ketika mereka dalam perjalanan pulang selepas selesai mengadakan persembahan di Sepang.

“Ramai yang menghubungi bertanyakan keadaan Siti. Kami menaiki dua buah kenderaan selepas selesai persembahan di RedQ AirAsia Sepang.

“Ketika melalui Lebuhraya MEX di KM14.2, berlaku kemalangan membabitkan empat buah kenderaan termasuk kereta yang dinaiki Siti.

“Kereta saya berada beberapa kenderaan di belakang. Kami segera membawa Siti keluar dari kenderaan yang terlibat kemalangan dan membawanya ke dalam kereta kami,” kongsinya dalam sebuah hantaran.

Dalam pada itu, Rozi memaklumkan Siti telah dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut selepas mengalami lebam dan bengkak pada bahagian kaki.

“Alhamdulillah, keadaannya selamat. Terima kasih atas doa dan keprihatinan semua,” katanya lagi.

Related Articles

Back to top button