Berita

Ada Sakit Gout & Baru Keluar Hospital, Suami Azar Azmi Mohon Jaminan Dikurangkan

Suami kepada pelakon Azar Azmi, Mohd Apri Hazreen Mohd Sapri, memohon pertimbangan mahkamah agar jumlah wang jaminan RM25,000 yang dikenakan terhadapnya dikurangkan atas faktor kesihatan dan tanggungan keluarga.

Permohonan itu dikemukakan di hadapan Hakim Mohamad Kamil Nizam ketika prosiding sebutan semula kes di Mahkamah Sesyen pada Rabu. Tertuduh yang hadir dalam keadaan tempang memaklumkan dia baru sahaja keluar dari hospital.

“Saya baru keluar hospital. Saya mohon jaminan dikurangkan kerana perlu menggunakan wang untuk menjalani ekokardiogram dan angiogram.

“Kos dianggarkan antara RM9,000 hingga RM10,000. Saya juga perlu menanggung perbelanjaan anak-anak kerana tiada pihak lain membantu,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Menurutnya lagi, dia turut menjalani pembedahan akibat penyakit gout dan memerlukan masa untuk melantik peguam. Dalam masa sama, dia memberi jaminan akan mematuhi semua syarat yang ditetapkan mahkamah.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Ezzati Mohd Zainal memohon agar jumlah jaminan dikekalkan, memandangkan kes tersebut melibatkan jenayah komersial yang serius. Katanya, kepentingan awam perlu diutamakan selain tiada bukti kukuh dikemukakan berhubung masalah kesihatan tertuduh.

Mahkamah kemudiannya membenarkan pengurangan jaminan kepada RM21,000 dengan mengekalkan syarat tambahan yang telah ditetapkan sebelum ini.

Dalam perkembangan berasingan di Mahkamah Majistret, tertuduh turut membuat permohonan untuk mengurangkan jaminan RM3,000 atas alasan sama. Namun, permohonan itu ditolak oleh Majistret Nurul Saqinah Rosli.

Mahkamah menetapkan 20 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi tujuan pelantikan peguam untuk kedua-dua pertuduhan. Pada prosiding tersebut, pelakon berkenaan tidak hadir, begitu juga ahli keluarganya.

Sebelum ini, media melaporkan tertuduh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menipu melibatkan urusan penjualan tanah kurniaan yang tidak wujud sehingga menyebabkan kerugian melebihi RM200,000 tahun lalu.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa memperdaya seorang lelaki berusia 56 tahun untuk membuat pembayaran sebanyak RM270,811 secara dalam talian ke akaun milik seorang wanita berusia 35 tahun bagi mendapatkan tanah kurniaan negeri Selangor yang sebenarnya tidak wujud. Kesalahan itu didakwa dilakukan antara 2 April hingga 13 November 2025 di sebuah bank di daerah ini.

Selain itu, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan menipu seorang lelaki berusia 49 tahun dengan memperdayakannya membuat bayaran RM23,120 bagi mendapatkan darjah kebesaran bergelar Datuk yang juga tidak wujud.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun, selain sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Related Articles

Back to top button