Global

Agensi Didakwa Bermasalah, Chen, Baekhyun & Xiumin Fail Notis Tamat Kontrak

Anggota kumpulan EXO, Chen, Baekhyun dan Xiumin (EXO-CBX) dilaporkan telah menghantar notis tuntutan rasmi terhadap pengerusi agensi mereka, INB100 iaitu Cha Ga Won pada penghujung Mac lalu.

Notis tersebut meminta penjelasan berhubung bayaran yang belum dilunaskan serta dakwaan pelanggaran kontrak, selain memaklumkan hasrat mereka untuk menamatkan kontrak eksklusif.

Laporan tersebut menyatakan artis terbabit memberi tempoh dua minggu untuk menerima maklum balas. Namun, sehingga kini tiada jawapan yang dianggap memuaskan diterima.

INB100 pada asalnya ditubuhkan oleh Baekhyun ketika dia bersedia untuk meninggalkan SM Entertainment.

Pada Mei 2024, syarikat tersebut dijadikan anak syarikat di bawah One Hundred Label, yang diasaskan oleh Cha Ga Won bersama MC Mong. Cha Ga Won kemudiannya menjadi pemegang saham terbesar dan menguruskan One Hundred Label bersama Big Planet Made serta INB100.

Laporan tersebut turut mendakwa yang walaupun syarikat berjaya memperoleh bayaran pendahuluan besar melalui kontrak berasaskan harta intelek melibatkan EXO-CBX, ia kini berada dalam keadaan kerugian modal sepenuhnya.

Selain itu, bayaran tertunggak kepada artis pula dikatakan mencecah puluhan bilion won Korea.

Bayaran kepada rakan niaga dan kakitangan juga dilaporkan tertunggak, sekali gus menjejaskan operasi harian EXO-CBX.

Sebagai respons, wakil kepada Cha Ga Won memaklumkan kepada The Fact syarikat sedang berusaha untuk menstabilkan keadaan dan akan mencari penyelesaian melalui pelaburan tambahan atau dana peribadi jika perlu.

Secara berasingan, beberapa artis yang dikaitkan dengan rangkaian perniagaan Cha Ga Won juga dilaporkan telah mengeluarkan notis penamatan kontrak, termasuk kumpulan The Boyz, Taemin, Lim Chang Jung, VIVIZ, Lee Seung Gi, BE’O dan Lee Mu Jin, menurut sumber industri.

Dalam perkembangan lain, Cha Ga Won juga dilaporkan berdepan tiga aduan berkaitan penipuan. Dakwaan menyebut kontrak ditandatangani menggunakan harta intelek artis bernaung, dan bayaran pendahuluan besar telah diterima, namun aktiviti perniagaan yang sepatutnya tidak dilaksanakan dengan sewajarnya.

Pihak polis kini sedang menggabungkan kes-kes tersebut untuk siasatan lanjut.

Related Articles

Back to top button