Harta Mewah Harvey Moeis Jadi Tumpuan Acara Lelongan, Kereta Mewah & Jongkong Emas Raih Perhatian

Nama Harvey Moeis sekali lagi menjadi perhatian apabila pelbagai aset mewah miliknya dipamer dan dilelong dalam acara BPA Fair yang berlangsung baru-baru ini.
Harvey, suami kepada pelakon terkenal Sandra Dewi, kini sedang menjalani hukuman penjara selama 20 tahun selepas Mahkamah Agung menolak permohonan kasasinya dalam kes rasuah perniagaan komoditi timah.
Dalam acara lelongan tersebut, orang ramai berpeluang melihat sendiri pelbagai barangan sitaan yang dikaitkan dengan kes berprofil tinggi itu.
Penyanyi senior Sania turut hadir dan berkongsi suasana acara menerusi video yang dimuat naik di media sosial miliknya.
BPA Fair merupakan program lelongan dan pameran aset rampasan negara yang dianjurkan oleh Badan Pemulihan Aset (BPA) Kejaksaan Republik Indonesia bersama Direktorat Jenderal Kekayaan Negara (DJKN).

Acara ini berlangsung dari 18 hingga 21 Mei 2026 dan berjaya menarik perhatian ramai pengunjung.
Antara yang mencuri tumpuan ialah koleksi kereta mewah milik Harvey Moeis, termasuk Ferrari, McLaren dan Rolls-Royce, seperti yang dilaporkan Kapanlagi.
Selain itu, beberapa motosikal dengan nombor pendaftaran unik turut dipamerkan untuk lelongan.
Tidak hanya kenderaan mewah, barangan eksklusif lain seperti lukisan kecil yang diperbuat daripada emas bernilai lebih Rp1 bilion (RM224,400) turut menjadi perhatian pengunjung.
Malah, jongkong emas pelbagai saiz termasuk seberat 500 gram juga disenaraikan dalam sesi lelongan tersebut, menjadikan acara itu antara yang paling hangat diperkatakan di media sosial.



