Azar Azmi Menangis Dapat Wang Tunai RM40,000 Daripada Aliff Syukri

Usahawan, Datuk Seri Aliff Syukri menghulurkan bantuan wang tunai sejumlah RM40,000 kepada pelakon Azar Azmi menerusi satu siaran langsung di TikTok, pada Isnin.
Menurut Aliff, bantuan tersebut disalurkan atas dasar empati selepas mengetahui kesukaran hidup yang dihadapi Azar ketika ini, malah menyifatkan sumbangan itu sebagai hasil sokongan rakyat Malaysia.
“Saya bantu seorang wanita yang sedang melalui kesempitan hidup hari ini. Dia datang berjumpa saya untuk minta kerja sebagai pembungkus barang dengan gaji sekitar RM1,700.
“Tapi hari ini saya bantu dia. Ini bukan duit saya, ini adalah hasil daripada rakyat Malaysia yang membeli produk. Ini adalah rezeki untuk Azar dan sokongan rakyat Malaysia,” katanya.
Dalam masa sama, Aliff turut membuka peluang kepada Azar untuk bekerja di syarikatnya, sama ada sebagai kerani atau pembungkus barang dengan tawaran gaji yang lebih baik.
“Hari ini saya jumpa seorang wanita yang pernah dikenali ramai. Dia tidak pernah meminta wang daripada saya. Mungkin selepas ini saya akan ambil dia bekerja di syarikat saya dengan gaji sekitar RM2,000,” ujarnya.
Aliff juga menzahirkan penghargaan kepada orang ramai yang menyokong perniagaannya sehingga membolehkan bantuan tersebut disalurkan.
“Terima kasih kepada rakyat Malaysia yang prihatin. Kali ini anda semua membeli sambil beramal. Insya-Allah selepas ini saya juga akan membantu pelakon Norish Karman yang dikatakan sedang sakit,” katanya lagi.
Sementara itu, Azar meluahkan rasa terharu dan terkejut dengan jumlah sumbangan yang diterima selain mengakui bantuan itu amat bermakna buat dirinya dan keluarga.
“Wang ini saya akan gunakan untuk membeli keperluan anak-anak. Saya benar-benar segan dan tidak tahu apa yang ingin dikatakan.
“Sejujurnya, sudah lama saya tidak mempunyai wang Saya sangat terhutang budi atas kebaikan yang diberikan,” katanya.
Difahamkan, Azar juga kini tidak mempunyai akaun bank mahupun akaun media sosial susulan kes yang pernah melibatkan dirinya sebelum ini.
Terdahulu, nama Azar menjadi perhatian selepas dia bersama suaminya, Mohd Apri Hazreen Mohd Sapri didakwa di mahkamah berkaitan kes penipuan.
Bagaimanapun, Azar telah dibebaskan dan kini bertindak sebagai saksi pendakwaan, manakala suaminya mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan dalam prosiding pada Mac lalu.



