Sufian Suhaimi Berdebar Bergelar Bapa, Isteri Bakal Bersalin Dalam Masa Terdekat

Penyanyi, Sufian Suhaimi, 34, berkongsi khabar gembira apabila bakal menimang cahaya mata sulung tidak lama lagi memandangkan isterinya, Rania Al Sadat kini sudah memasuki usia kandungan 37 minggu.
Sufian mengakui meskipun segala persiapan keperluan bayi telah dibuat dengan rapi, namun dari sudut mental dan emosi, dia masih berasa berdebar untuk bergelar bapa buat pertama kali.
“Memang betul, saya bakal jadi bapa. Sekarang hanya menunggu masa sahaja. Dari segi mental dan emosi, saya masih berdebar-debar.
“Kawan-kawan pun kata, tiada siapa yang benar-benar 100 peratus bersedia untuk sambut anak pertama. Jadi saya pun melalui perasaan yang sama, cuma secara keseluruhan saya sangat teruja,” katanya.
Bagaimanapun, pelantun lagu Di Matamu itu memilih untuk tidak mendedahkan jantina bayi mereka buat masa ini.
Dalam usaha membuat persediaan, Sufian turut mengambil inisiatif menghadiri kelas khas bagi menimba ilmu berkaitan kelahiran dan penjagaan bayi.
Berkongsi lanjut, Sufian berkata kebanyakan urusan menyediakan kelengkapan bayi banyak diuruskan oleh isterinya yang dilihat lebih teruja.
“Memang isteri lebih bersemangat pilih barang bayi. Dia ‘add to cart’, saya pula yang ‘check out’,” katanya berseloroh.
Dalam pada itu, Sufian turut meluahkan rasa syukur kerana isterinya tidak mengalami alahan yang teruk sepanjang tempoh kehamilan.
“Pada trimester pertama, isteri muntah pun tidak sampai 10 kali. Mengidam pula tiada yang pelik-pelik sebab kami memang suka makan.
“Walaupun dia seorang yang manja dan lembut, sebenarnya dia sangat aktif. Setiap pagi selepas Subuh, dia akan ajak saya temankan brisk walk sejauh tiga kilometer,” ujarnya.
Untuk rekod, Sufian dan Rania mendirikan rumah tangga pada 2 Mei 2025.



