“Semoga Kali Ini Awak Dapat Jejakkan Kaki Di Gaza”

Pelakon, Nadzmi Adhwa, 34, menitipkan doa dan kata-kata semangat buat isterinya, Ardell Aryana yang bakal menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0.
Nadzmi berharap agar segala urusan isterinya dipermudahkan, selain mendoakan agar pengorbanan yang dilakukan membuahkan hasil demi membantu umat Islam di Gaza.
“Saya, anak-anak dan keluarga semua tunggu awak balik ya. Semoga kali ini awak dapat jejakkan kaki di bumi Gaza. Luruskan niat awak, kami sentiasa mendoakan awak.
“Semoga Allah reda dengan usaha awak membantu ummah dan semoga Allah permudahkan awak serta semua yang terlibat,” tulisnya dalam satu hantaran.
Dalam perkongsian yang menyentuh hati itu, Nadzmi turut menggambarkan Ardell sebagai individu yang sangat istimewa dalam hidupnya, bukan sekadar isteri tetapi juga sahabat baik dan teman seperjuangan.
“Semoga berjaya isteri, teman gaduh, kawan baik dan ‘soul mate’,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, penceramah bebas PU Rahmat turut berkongsi doa buat Ardell dan pempengaruh Haroqs agar dipermudahkan perjalanan menyertai misi tersebut.
Selain Ardell, penyanyi dan aktivis Heliza Helmi bersama adiknya Hazwani Helmi juga antara yang terlibat dalam misi kemanusiaan berkenaan.
Difahamkan, setakat ini empat kumpulan delegasi Malaysia bagi GSF 2.0 telah berlepas bagi menjayakan misi tersebut.
Terdahulu, misi Global Sumud Flotilla 2.0 dijadualkan berlepas pada 12 April ini dari pelabuhan Barcelona, Sepanyol menuju ke Semenanjung Gaza.



