“Semasa Lafaz, Saya Menangis Depan Hakim”

Pelakon, Kamal Adli, 40, berkongsi semula detik penuh emosi ketika melalui proses perceraian dengan bekas isterinya, aktres Uqasha Senrose di mahkamah.
Pemilikm nama lengkap Ahmad Kamal Ahmad Adli, mengakui tidak mampu menahan perasaan sehingga menitiskan air mata sewaktu melafazkan cerai di hadapan hakim.
“Semasa lafaz (cerai), saya menangis macam budak-budak. Rasa malu dekat hakim. Dalam itu (mahkamah) ada kami sahaja, tak ada orang lain,” katanya dalam satu temubual.
Menurutnya, momen tersebut cukup berat untuk dilalui sehingga dia berasa seolah-olah ‘pecah’ ketika perlu melafazkan perpisahan itu.
“Masa nak kena sebut tu, saya rasa ‘pecah’. Bila dapat kertas yang perlu saya lafazkan itu, saya ingatkan saya okay, sampai kena ulang dua kali sebab tak jelas, menangis pula macam budak-budak.
“Sakit sangat ketika itu, saya sampai tak boleh nak pandang orang. Ayat yang membuatkan saya ‘pecah’, ‘dengan ini saya Ahmad Kamal menceraikan’,” ujarnya.
Terdahulu, Kamal dan Uqasha sah bercerai talak satu di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada 12 Januari lalu selepas Uqasha memfailkan permohonan perceraian pada 1 Oktober tahun lalu atas alasan tiada persefahaman.
Untuk rekod, pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 4 November 2021 selepas lima bulan bertunang dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira yang dilahirkan pada 27 April 2024.



