Trending

Kes Amang Seksual Masih Berjalan, Naim Daniel Terpaksa ‘Tapis’ Undangan Persembahan

Penyanyi, Naim Daniel, 28, mengakui menerima lambakan mesej (DM) daripada peminat yang menyuarakan kerinduan untuk menyaksikan persembahannya, meskipun kes amang seksual yang dikaitkan dengannya masih dalam perbicaraan.

Pemilik nama lengkap Muhammad Naim Daniel Baharin, berkata, dia terharu dengan sokongan yang diberikan, namun memilih untuk kekal berpada-pada dalam setiap aspek, baik kerjaya mahupun kehidupan peribadi.

“Saya pun rindu sebenarnya nak mengadakan persembahan, tetapi sepanjang Ramadan dan Syawal, banyak juga undangan yang saya penuhi.

“Memang saya akan teruskan persembahan, selain sibuk menghasilkan lagu raya untuk artis lain serta melakukan kerja studio. Alhamdulillah, penerimaan orang pun baik.

“Cuma saya kena berpada-pada dan tidak terlalu seronok, kerana masih perlu fokus kepada hal (kes) ini,” katanya.

Dalam masa sama, Naim memaklumkan dia turut menapis tawaran yang diterima, khususnya melibatkan penampilan di televisyen, demi menjaga sensitiviti semua pihak.

“Saya tapis setiap undangan, terutama yang melibatkan program besar kerana bimbang menjadi perhatian meluas dan jadi bahan percakapan orang.

“Untuk televisyen pula, saya perlu berbincang terlebih dahulu dengan pihak stesen kerana tidak mahu menimbulkan sebarang kesulitan kepada mereka yang selama ini banyak menyokong kerjaya saya,” ujarnya lagi.

Mengulas mengenai sambutan Aidilfitri tahun ini, Naim mengakui dirinya sedikit terkesan dengan situasi yang dihadapi, namun bersyukur masih dikelilingi insan yang sentiasa memberi sokongan.

“Perasaan itu subjektif, tetapi saya banyak meluangkan masa bersama keluarga dan kawan-kawan.

“Memang agak terkesan apabila mahu bergembira di hari raya, namun dalam masa sama perlu memikirkan perbicaraan yang berlangsung selepas itu.

“Alhamdulillah, sokongan daripada keluarga banyak memberi kekuatan kepada saya,” katanya seperti dilapor Kosmo.

Terdahulu, Mahkamah Sesyen menetapkan perbicaraan kes berkenaan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini hingga 2 April berhubung perbicaraan kes amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor pada 19 Mei lalu.

Kes tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 14(a), Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Related Articles

Back to top button