“Pergeseran Itu Biasa, Dia Tetap Anak Saya”

Penyanyi, Nourul Depp, 48, reda dan menyerahkan sepenuhnya kepada takdir Allah berhubung hubungan yang didakwa keruh dengan anak sulungnya, Ayu Nazirah, sejak beberapa tahun lalu.
Pemilik nama sebenar Noorulhuda Abdul Wahab berkata, isu berkenaan kembali menjadi bualan selepas dia berkongsi kisah tersebut dalam satu sesi audio siar baru-baru ini.
Namun, dia menegaskan perkongsian itu bukan bertujuan membuka aib atau memburukkan anaknya.
“Sebenarnya, kisah itu sudah lama, sekitar empat tahun lalu. Saya hanya berkongsi semula apa yang berlaku, bukan untuk menunjukkan keburukan dia. Macam mana pun, dia tetap anak saya.
“Saya biarkan dia melalui fasa mencari diri. Saya juga pernah melalui proses yang sama dan melakukan kesilapan.
“Apa yang saya kongsikan itu sebagai peringatan kepada anak-anak lain bahawa emak tetap emak walau apa pun terjadi,” katanya.
Menurut Nourul, dia percaya telah memberikan didikan terbaik kepada anaknya dan mengakui Ayu seorang yang bijak dalam membuat pilihan hidup.
“Saya sudah berikan semua ajaran dan dia seorang yang pandai. Jadi, dia pilih jalannya sendiri,” ujarnya lagi.
Tambahnya, sebagai ibu, pengorbanan terhadap anak-anak tidak pernah berpenghujung, namun setiap hubungan pasti ada pergeseran yang memerlukan ruang dan masa untuk diperbaiki.
“Kita sentiasa berkorban untuk anak. Tapi dalam masa sama, kita perlu tanya diri, adakah kita layak terus memendam kekecewaan? Pergeseran itu biasa, tetapi yang penting adalah usaha untuk memperbaikinya,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Nourul mengakui tidak mahu terlalu mendesak untuk memperbaiki hubungan kerana bimbang keadaan menjadi lebih buruk.
“Ada perkara yang kalau kita terlalu ‘push’, akan jadi lebih teruk. Saya juga sedar sebagai ibu, saya tidak sempurna dan pernah melakukan kesilapan.
“Contohnya, saya pernah anggap anak sebagai kawan, sedangkan sebenarnya perlu ada batas. Jadi sekarang, saya pilih untuk tunggu waktu yang sesuai,” katanya.
Menurutnya lagi, dia kini lebih banyak berdoa dan bersabar, selain menyerahkan segala-galanya kepada Allah SWT.
“Mungkin nampak ‘selfish’, tetapi ini adalah cara saya menjaga diri. Kalau minda tidak stabil, fizikal juga akan terjejas. Saya pernah melalui sakit kanser, jadi saya tidak mahu tekanan berlebihan.
“Bukan saya tidak mahu selesaikan, tetapi saya memilih untuk ‘let go’ dan percaya setiap perkara ada waktunya,” ungkap pelantun lagu Kerana Terluka itu.



