“Kami Dalam Proses Berpisah, Beri Ruang” – Marissa Dania

Kemelut rumah tangga pempengaruh media sosial, Marissa Dania Hakim dan Ahmad Aslam dilihat memasuki episod baharu apabila prosiding pengesahan lafaz cerai dan rujuk kini berubah kepada proses perceraian.
Marissa mendedahkan, dia dan suaminya kini sedang melalui fasa perpisahan selepas dua kali lafaz talak dibuat sepanjang perkahwinan mereka.
Menurut Marissa, perbicaraan yang berlangsung sebelum ini terpaksa ditangguhkan bagi memberi ruang kepadanya untuk memberikan keterangan.
“Kami kini dalam proses berpisah dan keputusan akhir bagi pengesahan lafaz cerai dan rujuk adalah cerai,” katanya menerusi satu perkongsian.
Dalam masa sama, Marissa yang juga anak kepada pelakon Abby Abadi dan Norman Hakim berharap orang ramai tidak lagi membuat sebarang spekulasi atau kenyataan berkaitan rumah tangganya.
“Saya harap tiada lagi kenyataan daripada mana-mana pihak. Beri saya ruang dan jangan membuat andaian serta membuat kesimpulan sendiri,” ujarnya.
Terdahulu, Marissa pernah mendedahkan dia tidak menerima hak sebagai seorang isteri seperti sepatutnya sepanjang perkahwinan itu.
Untuk rekod, pasangan berkenaan hadir ke mahkamah bagi prosiding pengesahan lafaz cerai dan rujuk yang berlaku sebanyak dua kali, iaitu pada September 2024 sebelum kembali rujuk dalam bulan sama, dan sekali lagi pada April 2025 sebelum difahamkan rujuk sekitar Jun tahun yang sama.
Marissa merupakan isteri kedua kepada Aslam selepas mereka bernikah di Thailand pada 27 Disember 2023. Ketika itu, Aslam sudah pun mendirikan rumah tangga dengan isteri pertama sejak Julai 2020.
Pasangan itu juga dilaporkan pernah bercerai pada September 2023 sebelum kembali rujuk dalam tempoh idah.



