Masih Tiada Sijil Nikah? Abby Abadi Harap Pihak Berkuasa Ambil Tindakan Terhadap Menantu

Pelakon, Abby Abadi, 48, menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan lebih tegas terhadap lelaki yang didakwa tidak menyelesaikan isu perkahwinan secara sah mengikut undang-undang.
Abby meluahkan kebimbangan terhadap situasi yang berlaku, termasuk melibatkan menantunya, Ahmad Aslam yang sehingga kini didakwa masih belum mempunyai pengesahan rasmi sijil pernikahan bersama anaknya, Marissa Dania.
“Tolonglah Mahkamah Syariah di Malaysia, isu-isu macam ini tidak bolehkah nak ambil sebarang tindakan untuk beri pengajaran kepada pihak lelaki?
“Sudahlah nikah di luar Malaysia, tiada pula pengesahan sijil nikahnya. Sudah dua tahun, buat pihak perempuan saja dipandang hina,” luahnya dalam sebuah hantaran.
Menurut Abby, perkara seperti itu seharusnya tidak dipandang ringan kerana boleh memberi kesan bukan sahaja kepada pasangan, malah kepada keluarga kedua-dua belah pihak.
“Tak menjadi kesalahan ke di Malaysia lelaki perangai macam ini? Sesuka hati nak buat apa pun.
“Kalau ibu bapa bertindak nanti, takut mereka pula yang ke dalam (penjara),” katanya lagi.
Terdahulu, Marissa dan Aslam hadir ke Mahkamah Syariah bagi prosiding menentukan status sebenar hubungan mereka sama ada masih sah sebagai suami isteri atau sebaliknya.
Situasi ini timbul selepas Aslam didakwa pernah melafazkan cerai terhadap Marissa sebanyak dua kali di luar mahkamah sebelum kembali rujuk dalam tempoh berbeza.
Peguam syarie yang mewakili Aslam, Muhammad Ammar Yaser Ahmad Nazri memaklumkan bahawa mahkamah masih belum membuat keputusan muktamad dan kes tersebut ditangguhkan ke satu tarikh lain yang akan dimaklumkan kelak.
Dalam masa sama, ketiadaan sijil nikah rasmi turut menyukarkan proses perundangan, memandangkan perkahwinan pasangan itu difahamkan berlangsung di Songkhla, Thailand pada Disember 2023 dan masih belum didaftarkan sepenuhnya di Malaysia.



