Music

RM Kongsi Kisah BTS Kekal Erat 14 Tahun

Ketua kumpulan BTS, RM meluahkan rasa kasih sayang yang mendalam terhadap rakan-rakan sepasukannya, sambil menekankan ikatan kuat yang telah mengekalkan kesemua tujuh ahli bersama selama 14 tahun.

Hal tersebut dikongsikan menerusi video temu bual oleh wartawan Moon Sang Hoon yang dimuat naik di Youtube baru-baru ini.

Mengimbas sebab kumpulan itu terus berlepas ke Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) untuk rakaman sebaik sahaja tamat perkhidmatan tentera, RM berkata: “Sejurus selepas saya tamat perkhidmatan, kami mencadangkan untuk pergi ke LA bersama selama dua bulan bagi sesi rakaman album,” kongsinya.

RM turut mengimbau pengalaman menyewa rumah bersama sekitar 2018 atau 2019 selepas setiap anggota BTS menjalankan projek individu.

“Tinggal bersama semula selepas tujuh tahun memang menakjubkan. Tujuh lelaki di bawah satu bumbung, terutama selepas tinggal dengan kira-kira 20 orang dalam tentera, mungkin kedengaran tidak selesa.

“Tetapi melalui semua itu bersama-sama sebenarnya sangat menyeronokkan,” tutur RM.

RM turut berkongsi proses kreatif mereka di studio di Los Angeles.

“Biasanya kami bangun dan bersenam bersama pada waktu pagi, makan tengah hari pada pukul 1 petang, kemudian bekerja di bilik masing-masing di studio sehingga pukul 8 malam.

“Kami lakukan rutin ini enam hari seminggu selama dua bulan, dan akhirnya menghasilkan lebih 100 lagu, sebelum memilih 14 untuk dimuatkan dalam album,” katanya.

RM turut mendedahkan yang mereka kadangkala meluangkan masa minum bersama pada waktu malam, dengan V secara berseloroh berkata: “Di situlah saya minum soju buat kali pertama,” tutur V.

Mengenai hubungan erat antara ahli, RM berkata, ia merupakan satu hal luar biasa mereka kekal bersama selama 14 tahun.

“Sangat luar biasa kami kekal bersama selama 14 tahun tanpa seorang pun meninggalkan kumpulan. Semua ahli sangat baik dan bertimbang rasa. Lebih daripada itu, kami berkongsi keinginan yang sama untuk menyampaikan sesuatu kepada ARMY, dan itu menguatkan lagi hubungan kami. Saya benar-benar tersentuh,” katanya.

Sementara itu, BTS baru-baru ini kembali sebagai kumpulan penuh dengan album studio kelima mereka ARIRANG, yang berjaya mencuri perhatian global dan mendominasi industri muzik antarabangsa.

Related Articles

Back to top button