“Hek Eleh, Langkawi Je” – Kata-Kata Guru Tinggalkan Kesan Mendalam Pada Murid

Seorang wanita berkongsi bagaimana kata-kata daripada guru sekolah rendahnya telah memberi kesan mendalam terhadap keyakinan diri, membuktikan bahawa sepotong ayat sahaja boleh memberi impak emosi yang berpanjangan kepada seorang kanak-kanak.
Mengimbas kembali kejadian itu menerusi hantaran di Threads, wanita itu berkata, kejadian tersebut berlaku ketika dia berada di tahun empat.
Ketika itu, si guru bertanya kepada kelas sama ada sesiapa pernah menaiki kapal terbang atau tidak.
Kira-kira lima pelajar mengangkat tangan, termasuk dirinya.
Guru tersebut kemudian bertanya seorang demi seorang ke mana mereka pernah terbang.
“Ada yang jawab London, yang lain semua sebut destinasi luar negara. Bila giliran saya, saya dengan teruja cakap Langkawi,” katanya.
Apa yang sepatutnya menjadi detik membanggakan bertukar menjadi pengalaman memalukan.
Menurutnya, guru tersebut memberi respon memperlekehkan.
“Cikgu kata, ‘Hek eleh, Langkawi je’. Saya baru 10 tahun. Saya rasa sangat kecil, sangat malu, dan terus hilang keyakinan diri,” kongsinya.

Tambahnya, satu lagi pengalaman serupa berlaku ketika pengumuman keputusan ujian Sains bersama guru yang sama.
Guru itu bertanya jika ada pengawas yang mendapat A, dan dia mengangkat tangan kerana memperoleh 82 peratus.
“Tapi cikgu kata, ‘Itu A cukup-cukup makan je,’” katanya, walaupun dia satu-satunya pengawas yang mendapat A.
Kata-kata berulang seperti itu membuatkan dia merasakan usahanya tidak pernah mencukupi. Menurutnya, pengalaman tersebut kekal dalam ingatan hingga dewasa, sering bermain di fikirannya dan menjejaskan keyakinan diri.
Namun, dia akhirnya sedar yang dia tidak boleh membiarkan kata-kata itu terus menentukan dirinya.
Dia memilih untuk bangkit dan kini berusaha memberi kata-kata semangat kepada diri sendiri melalui afirmasi positif.
Perkongsian itu turut mendapat perhatian ramai, dengan netizen berkongsi pengalaman sama tentang bagaimana kata-kata guru pernah melukakan perasaan mereka ketika zaman persekolahan.



