Esther Yu Temui Peminat Malaysia April Ini Menerusi iQIYI Starship 2026

Platform penstriman Asia, iQIYI, mengumumkan jelajah iQIYI Starship 2026 akan memulakan persinggahan pertamanya di Malaysia pada 7 April depan, sekali gus membawa bintang popular China, Esther Yu, bertemu peminat tempatan buat kali pertama.
Pelakon yang juga Duta Global Antarabangsa iQIYI itu dijadual membuat penampilan khas di Zepp Kuala Lumpur menerusi acara eksklusif yang dijangka menghimpunkan peminat drama China dari seluruh negara.
Pemilihan Malaysia sebagai destinasi pembukaan jelajah tahun ini dilihat sebagai langkah strategik selepas sambutan memberangsangkan terhadap pelbagai aktiviti iQIYI Starship di rantau Asia Tenggara sepanjang tahun lalu.
Langkah itu sekali gus mencerminkan komitmen berterusan iQIYI untuk memperkukuhkan kehadirannya dalam pasaran hiburan digital di Malaysia.
Esther Yu dilantik sebagai Duta Global Antarabangsa iQIYI pada November tahun lalu dan dikenali menerusi beberapa drama popular seperti Love Between Fairy and Devil (2022), My Journey to You (2023) dan Sword and Fairy (2024), yang turut boleh ditonton di platform iQIYI International.
Menerusi acara iQIYI Starship 2026 di Kuala Lumpur itu, Esther Yu dijangka berkongsi pengalaman di sebalik tabir serta pandangannya mengenai watak yang dibawakan dalam drama terbaharunya, Speed and Love.

Drama original iQIYI itu mengangkat latar dunia perlumbaan kompetitif yang sarat dengan elemen perkembangan diri, pencarian jati diri serta konflik emosi.
Sejak dilancarkan, Speed and Love turut mencetuskan perbincangan hangat dalam kalangan peminat drama China di Asia Tenggara dan muncul sebagai antara judul yang paling banyak diperkatakan di rantau ini.
Dalam masa sama, peluang menyertai acara iQIYI Starship 2026 di Malaysia akan diutamakan kepada ahli VIP Tahunan Antarabangsa iQIYI Malaysia.
Maklumat lanjut mengenai mekanik penyertaan serta perkembangan terkini acara berkenaan akan diumumkan melalui platform media sosial rasmi iQIYI Malaysia sedikit masa lagi.
Ayuh tandakan kalendar anda untuk bersama Esther Yu pada 7 April hadapan dan bersama mencipta sejarah bersamanya.



