Babak Nak Bersalin Bukan Petanda Amira Othamn Sedang Hamil

Penyanyi, Amira Othman, 32, menafikan babak terakhir dalam video muzik lagu Bincang Raya yang memaparkan dia sakit hendak bersalin sebagai petanda dirinya sedang hamil.
Pemilik nama lengkap Nadia Amira Othman menjelaskan babak tersebut hanyalah sebahagian daripada jalan cerita yang dirancang bagi menambahkan elemen kejutan pada penghujung video muzik berkenaan.
Menurutnya, idea tersebut datang daripada pengarah video muzik itu iaitu suaminya sendiri, Fattah Amin bersama Khalid Nadzri.
“Saya ada bertanya suami kenapa dipaparkan babak sedemikian. Suami beritahu tiada apa-apa maksud, ia hanya jalan cerita untuk menjadikan video muzik itu lebih menarik.
“Patut suruh suami saya jawab soalan kenapa dia buat macam itu,” katanya sambil berseloroh.
Dalam masa sama, Amira turut menegaskan bahawa babak tersebut bukanlah gimik untuk memberi bayangan bahawa dirinya kini sedang berbadan dua.
“Tetapi ia bukan gimik untuk mengiyakan apa-apa. Tidak ada apa-apa pun. Saya mohon doakan yang baik-baik daripada semua,” katanya lagi.
Ditanya sama ada dia dan suami akan berkongsi khabar gembira sekiranya dikurniakan zuriat, Amira berkata perkara itu pasti akan diumumkan pada waktu yang dirasakan sesuai.
“Insya-Allah kalau ada perkara baik, pada waktu yang paling sesuai kami akan kongsikan.
“Sudah tentu kami juga akan mengambil kira perasaan keluarga serta nasihat orang alim,” ungkap Amira.
Video muzik Bincang Raya mula ditayangkan secara rasmi pada jam 7 malam Isnin, menerusi saluran YouTube.
Untuk rekod, Amira mendirikan rumah tangga dengan pelakon, Fattah Amin pada 14 September tahun lalu.



