Alha Alfa Sumbang RM20,000 Hasil Jualan Bantu Rawatan Kanser Anak Kedua Amyza

Usahawan kosmetik dan personaliti media sosial, Datuk Alha Alfa menghulurkan sumbangan berjumlah RM20,000 bagi membantu menampung kos rawatan Adrian Adam iaitu anak kedua kepada pelakon Amyza Aznan yang disahkan menghidap kanser tulang.
Alha memaklumkan dana tersebut berjaya dikumpulkan hasil jualan set produk edisi khas produk jenama miliknya yang dilancarkan pada 21 Februari.
Menurutnya, kutipan berkenaan telah pun diserahkan kepada Amyza sebagai amanah daripada para pembeli yang turut sama menyokong usaha kebajikan itu.
“Salam semua pengguna yang support pembelian set untuk kita bantu kos rawatan anak kedua Kak Amyza, iaitu Adrian Adam.
“Saya dah pun sampaikan amanah ini. Semoga dipermudahkan urusan Kak Amyza dan anak-anak,” tulisnya dalam sebuah hantaran.
Dalam hantaran sama, Alha turut menitipkan doa agar Adrian diberikan kekuatan dan kesembuhan sepenuhnya dalam menghadapi ujian tersebut.
“Semoga Adrian sehat sediakala. Mari kita doakan kesembuhan syifa untuk Adrian, amin,” kongsinya lagi.
Sebelum ini, Alha mengambil inisiatif melancarkan set produk khas sebagai tanda solidariti terhadap keluarga Amyza.
Alha juga mengadakan sesi siaran langsung untuk mempromosikan jualan berkenaan dengan hasrat agar keseluruhan hasil diperuntukkan bagi membantu meringankan beban kos rawatan yang ditanggung keluarga aktres itu.
Terdahulu, Amyza kehilangan anak sulungnya, Allahyarham Andre Mikhail yang menghembuskan nafas terakhir pada malam Isnin akibat menderita kanser paru-paru.



