Jennie Derma RM269,771 Untuk Bantu Golongan Rentan Iklim

Jennie menunaikan janji untuk mendermakan semua hasil daripada pameran fotonya selain turut menambah wang peribadi, menjadikan jumlah sumbangan keseluruhan sebanyak 100 juta won (RM269,771).
Perkhabaran itu dikongsikan oleh penyanyi bernama Sean menerusi perkongsian di Instagram.
“Jennie telah menyumbang 100 juta won (RM) kepada kempen Raise the Temperature of Korea by 1 Degree, termasuk wangnya sendiri bersama keuntungan daripada pameran foto Januari lalu, J2NNI5.
“Sumbangan itu akan digunakan untuk menyediakan briket arang batu kepada isi rumah yang terdedah kepada risiko iklim di seluruh negara,” tulisnya.
Dalam masa sama, Sean menambah, wang derma Jennie itu cukup untuk membeli 112,000 briket arang batu yang mampu digunakan 560 isi rumah sepanjang satu bulan pada musim sejuk.
“Bagi sesetengah orang, briket arang batu bukan satu pilihan tetapi keperluan untuk terus hidup sepanjang musim sejuk. Terima kasih kerana membantu menjadikan Korea sedikit lebih hangat,” luahnya.
Sijil sumbangan yang didedah memaparkan nama sebenar Jennie, Kim Jennie, dan jumlah sumbangan sebanyak 100 juta won (RM269,771).
Tujuan sumbangan dinyatakan sebagai sokongan briket arang batu untuk isi rumah rentan iklim di seluruh negara.
Sebelum ini, Jennie mengadakan pameran foto solo bertajuk J2NNI5 di Jongno-gu, Seoul, dari 16 hingga 29 Januari lalu sempena ulang tahun kelahirannya yang ke-30.
Jennie mengumumkan bahawa semua hasil jualan tiket akan didermakan. Sumbangan terbaharu ini bukan sahaja menunaikan janji tersebut, malah turut merangkumi dana tambahan daripada poketnya sendiri.



