Nabil Ahmad Nafi Hubungan Dengan Fazura Dingin

Pengacara, Nabil Ahmad, 42, tampil menjelaskan spekulasi yang mendakwa hubungannya dengan aktres Nur Fazura pernah dingin sekali gus menegaskan dakwaan tersebut adalah tidak benar.
Menurut Nabil, hubungan mereka kekal baik sejak dahulu dan tidak pernah berdepan sebarang masalah. Malah, dia sendiri terkejut apabila diingatkan kembali mengenai beberapa projek lama yang pernah dijayakan bersama Fazura.
“Hubungan saya dengan Fazura memang sangat baik. Cuma ada masa saya terlupa kami pernah bekerjasama. Bila video lama ditayangkan semula, barulah teringat, rupanya dulu kami agak rapat juga,” katanya.
Nabil turut mengulas pertemuan terbaharu mereka ketika terlibat dalam kempen bersama Jakel, yang disifatkannya berjalan lancar dan mendapat sambutan positif.
“Apabila bertemu semula, alhamdulillah semuanya jadi seperti dirancang dan hubungan baik itu masih ada,” jelasnya.
Mengulas komen negatif yang berlegar di media sosial, Nabil mengakui dia memilih untuk tidak membaca atau mengikuti perbincangan tersebut demi menjaga kesihatan mental.
“Saya memang sengaja tak ambil tahu. Saya pun tak ada akaun Threads. Kadang-kadang ada pihak cuba melaga-lagakan orang, jadi lebih baik saya elakkan.
“Saya dengan duta Jakel lain seperti Que Haidar dan Kamal Adli boleh duduk semeja, berbual dan bekerja dengan baik tanpa isu,” katanya lagi.
Mengulas momen Fazura bersama Que Haidar yang menjadi bualan ramai, Nabil menyifatkannya sebagai suasana kerja yang positif dan ikhlas di set penggambaran.
Dalam perkembangan lain, Nabil turut muncul dalam video muzik lagu raya terbaharu nyanyian Nabila Razali berjudul Tak Sabar Nak Raya.



