Filem Terakhir Kim Sae Ron Bakal Ditayangkan Setahun Selepas Pemergiannya

Penampilan terakhir mendiang Kim Sae Ron dalam pakaian seragam sekolah bakal dipertontonkan kepada umum tidak lama lagi. Setahun selepas pemergiannya, filem romantik remaja berjudul Everyday, We, itu dijadualkan menemui penonton pada 23 Februari ini.
Tayangan pratonton media akan berlangsung pada hari sama di CGV Yongsan I Park Mall, Seoul, Korea.
Filem ini mengisahkan tentang percintaan remaja yang bermula dengan pengakuan mengejut daripada rakan zaman kanak-kanak ketika usia 17 tahun. Ia merupakan satu fasa kehidupan yang penuh kekeliruan dan emosi. Filem ini diadaptasi daripada webtoon popular dengan judul sama yang mencatat lebih 17 juta tontonan di satu platform dan berjaya menambat hati pembaca.
Webtoon asal Everyday, We menggambarkan secara halus perasaan cinta pertama yang pernah dialami sekurang-kurangnya sekali oleh kebanyakan orang ketika remaja. Ia menelusuri perjalanan watak-watak yang belajar menjadi dewasa dalam keadaan serba kekok ketika berada di persimpangan hidup.
Versi filem ini mengekalkan emosi dan nuansa karya asal, sekali gus menampilkan kisah cinta segar dan menggetarkan hati yang dekat dengan penonton.
Mendiang Kim Sae Ron membawakan watak Han Yeo Ul, seorang pelajar sekolah menengah yang berada dalam kekeliruan selepas menerima pengakuan cinta secara tiba-tiba daripada rakan zaman kecilnya.
Sejak bergelar pelakon kanak-kanak, Kim Sae Ron membina reputasi kukuh menerusi pelbagai karya. Dikenali dengan senyuman ceria dan lakonan mantap, dia menghidupkan watak Han Yeo Ul dengan penuh keikhlasan, mempamerkan keceriaan dan kepolosan remaja.
Selepas tayangan pratonton, satu sidang media akan diadakan dengan kehadiran pengarah Kim Min Jae serta para pelakon Lee Chae Min, Ryu Eui Hyun dan Choi Yu Ju.
Kim Sae Ron meninggal dunia pada 16 Februari tahun lalu, dan ulang tahun pertama pemergiannya baru sahaja diperingati.
Sumber: Allkpop



