Cari Kelainan, Wany Hasrita Pertaruh Lembayung Tari

Selepas beberapa tahun mewarnai industri muzik tanah air dengan balada yang menyentuh jiwa, Wany Hasrita kembali mengukuhkan jenamanya menerusi single terbaharu berjudul Lembayung Tari, sebuah karya pop etnik kontemporari yang sarat dengan nuansa magis dan emosi.
Dilancarkan secara rasmi pada 6 Februari lalu di semua platform penstriman digital, Lembayung Tari menyatukan elemen tradisional dan moden dalam satu susunan muzik yang lembut, puitis dan penuh misteri.
Lagu ciptaan gandingan kreatif Hael Husaini dan Iqie Hugh ini menawarkan kelainan buat peminat yang mendambakan karya segar dengan sentuhan etnik kontemporari.
Menariknya, susunan muzik oleh Iqie Hugh memberi penekanan kepada bunyian etnik yang digarap secara moden, sekali gus mewujudkan suasana senja yang simbolik dan penuh misteri.
Lembayung Tari mengisahkan detik peralihan cahaya di waktu senja, metafora kepada ketenangan, keindahan dan penyembuhan jiwa.

Melalui simbolik tarian dan lembayung cahaya, lagu ini menggambarkan bagaimana seni mampu menjadi bahasa perasaan tanpa perlu dilafazkan.
Menurut Wany, karya ini cukup dekat di hatinya kerana ia memberi ruang kepada pendengar untuk ‘berhenti seketika’ daripada kesibukan hidup dan menikmati keindahan rasa melalui muzik dan seni gerak.
“Kadang-kadang kita terlalu sibuk sehingga terlupa untuk menghargai detik tenang. Lagu ini seperti satu ruang untuk kita bernafas dan menyembuhkan diri,” jelasnya.
Kini, menerusi Lembayung Tari, Wany dilihat berani meneroka sisi baharu muziknya yang dilihat lebih eksperimental namun masih mengekalkan identiti kelembutan yang sinonim dengannya.
Dengan gabungan estetika tradisional dan sentuhan moden, Lembayung Tari bukan sekadar sebuah lagu, tetapi sebuah pengalaman rasa seterusnya mengajak pendengar menikmati keindahan senja dalam bentuk melodi.
Single ini diterbitkan oleh Wany Hasrita Entertainment dengan kerjasama Maison Management dan diedarkan oleh Universal Music Malaysia.



