
Selepas melihat betapa mudahnya rakyat Malaysia membuat hampir semua pembayaran menggunakan Touch ‘n Go eWallet, sebahagian warganet Indonesia kini mula mempersoalkan satu perkara: kenapa mereka tidak mempunyai platform yang serupa?
Perbincangan bermula apabila seorang pengguna Indonesia berkongsi pandangannya mengenai aplikasi tersebut.
“Tolong @mytouchngo, buat satu untuk Indonesia juga supaya kami boleh daftar guna KTP. UI dia sangat bagus dan menarik,” tulis pengguna itu.
KTP merujuk kepada Kartu Tanda Penduduk, iaitu kad pengenalan nasional Indonesia.
Hantaran tersebut pantas mendapat perhatian dan menerima pelbagai reaksi daripada pengguna Indonesia lain yang berkongsi sentimen sama.
Ramai menyatakan antara muka aplikasi itu kelihatan bersih, mudah digunakan dan menarik secara visual. Ada juga yang pernah menggunakan Touch ‘n Go ketika melancong ke Malaysia dan mengakui mereka kagum dengan kelancaran sistemnya.
Bagi mereka, ia bukan sekadar soal reka bentuk. Apa yang lebih penting ialah bagaimana aplikasi itu berfungsi dengan lancar untuk transaksi harian, daripada pembayaran hingga pemindahan wang, malah boleh digunakan merentas sempadan.

Satu lagi ciri yang menarik perhatian ialah keupayaan melakukan transaksi di pelbagai negara. Seorang pengguna menyifatkannya sebagai universal selepas mengetahui ia menyokong transaksi di lebih 50 negara di seluruh dunia.
Bagi rakyat Indonesia yang kerap melancong atau membuat pembayaran dalam talian antarabangsa, sokongan global seperti ini dilihat sebagai satu kelebihan besar.
Beberapa pengguna turut berpendapat yang aplikasi seperti itu akan memberi manfaat sekiranya diperkenalkan di Indonesia, terutamanya bagi mereka yang kerap berurusan antara Indonesia dan Malaysia.
Walaupun Indonesia sudah mempunyai beberapa platform dompet digital sendiri, ada yang merasakan masih terdapat kekangan dari segi sokongan pembayaran global dan ciri-ciri tertentu.
Berbanding platform sedia ada, Touch ‘n Go eWallet dilihat menawarkan fungsi lebih luas, khususnya bagi transaksi antarabangsa dan penyimpanan dana secara lebih mudah dalam satu aplikasi.
Sehubungan itu, ramai meluahkan harapan agar Touch ‘n Go mempertimbangkan untuk mengembangkan perkhidmatannya secara rasmi ke Indonesia.
Selain isu ketersediaan, satu permintaan utama turut dibangkitkan. Jika aplikasi itu dilancarkan di Indonesia, pengguna berharap pendaftaran boleh dibuat menggunakan KTP, dan bukan terhad kepada pengesahan pasport atau nombor telefon asing sahaja.
Buat masa ini, belum ada sebarang pengumuman rasmi mengenai rancangan peluasan tersebut.
Namun berdasarkan reaksi dalam talian, minat dari Indonesia jelas semakin meningkat, sekali gus menunjukkan bahawa ekosistem pembayaran digital Malaysia semakin mendapat pengiktirafan di luar negara.



