
Cef selebriti, Datuk Zamzani Abdul Wahab atau lebih dikenali sebagai Cef Zam, 56, tampil membuat permohonan maaf susulan kecaman hebat netizen terhadap kenyataannya yang didakwa berunsur memperlekehkan pihak lain.
Cef Zam menjelaskan bahawa dia tidak pernah berniat untuk merendahkan sesiapa dan mengakui kekhilafan diri dalam memilih perkataan yang sesuai.
Menurutnya, permohonan maaf telah dibuat dengan penuh keikhlasan dan dia menerima segala teguran yang diberikan.
“Saya sudah memohon maaf di atas kesilapan saya setulus hati. Saya tidak berniat memperlekehkan sesiapa. Saya tidak terfikir perkataan ‘menggeletis’ itu akan membawa maksud yang kurang baik.
“Kita ini manusia, tidak kira tua atau muda, apa juga kedudukan, pasti tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Dari situlah kita belajar untuk menjadi lebih baik.
“Saya terima setiap kecaman dan mendoakan agar anda semua juga dijauhkan daripada melakukan kesilapan. Tanggungjawab saya sudah saya laksanakan, selebihnya saya serahkan kepada Allah SWT. Wallahualam,” tulisnya dalam sebuah hantaran.
Dalam hantaran berasingan, Cef Zam turut memperincikan maksud sebenar di sebalik penggunaan perkataan ‘menggeletis’ dan frasa ‘masak untuk katering’ yang mencetuskan salah faham.
Jelasnya, istilah ‘menggeletis’ yang digunakan sepatutnya membawa maksud bergegas atau tergesa-gesa, manakala kenyataan mengenai memasak untuk perniagaan katering pula hanyalah sekadar gurauan.
“Saya ingin jelaskan bahawa saya tersilap memilih perkataan. ‘Menggeletis’ itu sepatutnya bergegas atau tergesa-gesa. Bab ‘masak untuk katering’ pula hanya berniat untuk berjenaka.
“Tidak pernah terlintas di hati saya untuk memperkecilkan kepayahan anda yang berkejar pulang ke rumah demi pelbagai persiapan,” jelasnya lagi.
Sebelum ini, satu hantaran Cef Zam yang menyentuh soal waktu pulang dari tempat kerja menjadi tular dan mencetuskan perdebatan dalam kalangan warganet, apabila ia dilihat seolah-olah mempersoalkan tindakan segelintir individu yang pulang lebih awal menjelang waktu berbuka puasa.



