Berita

MyKad Baharu Dilancar Jun Ini, Tampil 53 Ciri Keselamatan Canggih

Selepas lebih dua dekad, Malaysia bakal memperkenalkan Struktur Baharu MyKad bermula Jun ini. Pelaksanaan secara berperingkat itu akan menggantikan MyKad yang mula diperkenalkan pada 5 September 2001.

Sebelum ini, Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata MyKad generasi baharu itu bertujuan memperkukuh sistem identiti nasional menerusi penggunaan teknologi dan ciri keselamatan yang lebih canggih.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Badrul Hisham Alias berkata Struktur Baharu MyKad akan dilengkapi 53 elemen keselamatan berbanding hanya 23 elemen pada versi semasa.

Antara penambahbaikan yang diperkenalkan termasuk kod QR untuk tujuan pengesahan dan penguatkuasaan, hologram, teks mikro (microtext), ciri keselamatan ultraungu (UV), ukiran laser serta cip dengan tahap penyulitan yang lebih tinggi.

Pelancaran rasmi Struktur Baharu MyKad dijangka akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Anwar Ibrahim pada satu tarikh yang akan diumumkan kemudian.

Sebagai langkah permulaan, JPN memaklumkan kad baharu itu akan mula dikeluarkan di ibu pejabatnya di Putrajayaserta 18 pejabat JPN terpilih menerusi sistem janji temu sebelum diperluaskan ke seluruh negara secara berperingkat.

JPN turut menasihatkan orang ramai agar tidak tergesa-gesa untuk menggantikan MyKad masing-masing kerana proses pelaksanaan akan dilakukan secara berperingkat.

Keutamaan akan diberikan kepada pemohon yang membuat janji temu melalui Sistem Janji Temu JPN, selain pemegang Kad Pengenalan Plastik (KPP), Kad Pengenalan Bermutu Tinggi (KPT) dan MyKad Versi 1.

“Pemegang KPP, KPT dan MyKad Versi 1 diwajibkan menggantikan kad mereka kepada Struktur Baharu MyKad secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun,” menurut kenyataan JPN pada Isnin (1 Jun).

JPN turut memberi jaminan bahawa kad pengenalan sedia ada masih sah digunakan untuk semua urusan rasmi termasuk penebusan subsidi dan bantuan kerajaan.

Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh melayari laman web rasmi JPN atau mengikuti saluran media sosial rasminya.

Sistem pengenalan diri negara mula diperkenalkan pada tahun 1948 melalui kad pengenalan berasaskan kertas di Semenanjung Malaysia sebelum diperluaskan ke Sabah dan Sarawak.

Sistem tersebut kemudian berkembang kepada penggunaan kad pengenalan plastik pada era 1960-an, diikuti pengenalan Kad Pengenalan Bermutu Tinggi pada 1980-an.

Pada tahun 2001, MyKad diperkenalkan sebelum teknologinya dipertingkatkan lagi pada tahun 2012.

Struktur Baharu MyKad kini menjadi langkah terbaharu dalam evolusi berterusan sistem pengenalan diri negara.

Sumber: Bernama

Related Articles

Back to top button