‘Ibu Pesan, Kalau Penat Rehat Sekejap’

Penyanyi, Wany Hasrita, 33, tidak menafikan perjalanan seninya pernah melalui detik pasang surut. Namun di sebalik cabaran yang datang silih berganti, dia tetap berdiri teguh hasil dorongan insan terdekat yang tidak pernah jemu meniupkan kata semangat.
Menurut pemilik nama penuh Nurshazwany Hasrita Hasbullah, ibunya merupakan figura paling penting yang sentiasa berada di belakangnya sejak awal pembabitan dalam bidang nyanyian.
Malah, ibunya tidak pernah meletakkan tekanan, sebaliknya memberi ruang jika dia berasa lelah dengan tuntutan industri.
“Kalau nak cakap tentang individu paling kuat beri semangat, sudah tentu ibu saya. Ibu tak pernah putus harapan. Dia selalu pesan, kalau Wany dah terlalu penat, berhenti sekejap.
“Duduk dengan suami di Kuching. Tak rugi apa-apa pun, ibu okey sahaja. Industri kita bergerak sangat laju. Bukan soal persaingan semata-mata, tapi rentaknya pantas. Jadi saya kena sentiasa hasilkan lagu baharu supaya terus relevan.
“Namun kepuasan itu datang daripada diri sendiri, terutama bila membawakan lagu tradisional. Saya memang suka dengar genre begitu berkumandang di radio,,” kongsinya.
Disebabkan itu, dia berasakan penting untuk tampil dengan karya baharu dari semasa ke semasa. Walaupun begitu, kepuasan sebenar datang apabila dapat menyanyikan lagu berunsur tradisional yang dekat dengan jiwanya.
Dalam pada itu, Wany turut menzahirkan penghargaan kepada pengurusnya yang sanggup bersama ketika dia membuat keputusan untuk bergerak secara bebas tanpa naungan syarikat rakaman.
Ujarnya, peralihan tersebut bukan sesuatu yang mudah kerana sebelum ini banyak urusan diuruskan pihak label.
Ketika memulakan langkah sendiri, dia mengakui agak buntu dan hanya bergantung pada lagu-lagu terdahulu seperti Canggung dan Rintihan Kalbu untuk persembahan pentas.
Walaupun karya berkenaan masih mendapat tempat, jauh di sudut hati dia mengimpikan lagu baharu yang mampu menembusi carta dan diputarkan di corong radio.
“Bila sampai ke lagu Lembayung Tari, kami rasa gelombang itu sama. Dia selalu beri keyakinan bahawa saya mampu lakukannya. Jadi kami cuba sahaja,” katanya penuh harapan.
Single terbaharunya berjudul Lembayung Tari merupakan hasil ciptaan Hael Husaini dan Iqie Hugh. Bagi Wany, lagu tersebut cukup peribadi dan menjadi simbol fasa baharu dalam kerjaya seninya.
Dia berharap percubaan kali ini membuahkan hasil, apatah lagi dengan sokongan tidak berbelah bahagi daripada ibu dan suami yang sentiasa menjadi tulang belakang perjuangannya dalam industri muzik tanah air.



