Trending

Nora Danish Lebih Tenang Tanpa Fikir Soal Cinta

Pelakon, Nora Danish, 44, mahu menikmati kehidupan yang tenang tanpa terlalu memikirkan soal cinta mahupun perkahwinan seperti sebelum ini.

Menurut Nora, penglibatannya dalam sukan pickleball sedikit sebanyak mengubah cara fikirnya apabila fokus harian kini lebih tertumpu kepada aktiviti yang membuatkan dirinya gembira dan aktif.

Kata Nora, dia sendiri tidak menyangka perubahan tersebut berlaku memandangkan sebelum ini dia sering memikirkan tentang masa depan dan keinginan untuk mempunyai pasangan hidup.

“Sekarang ini saya rasa lebih tenang dan tak terlalu fikir soal percintaan. Dulu saya memang jenis yang suka ada pasangan dan selalu fikir tentang kahwin.

“Tapi sejak aktif bermain pickleball, fokus saya lebih kepada sukan itu. Saya jadi lebih seronok menikmati rutin harian dan tidak lagi terlalu memikirkan soal jodoh,” katanya.

Bagaimanapun, aktres itu tidak menutup pintu hatinya untuk kembali bertemu pasangan hidup pada masa akan datang, namun menyerahkan segala urusan jodoh kepada ketentuan Allah SWT.

“Saya percaya kalau ada jodoh, adalah. Mana tahu jumpa dekat pickleball court juga nanti,” katanya sambil berseloroh.

Dalam pada itu, Nora turut menegaskan dia masih belum mempunyai teman istimewa dan tidak berada dalam fasa mencari pasangan buat masa sekarang.

Menurutnya, dia lebih selesa memberi perhatian kepada diri sendiri selain menikmati kehidupan bersama keluarga dan aktiviti yang diminatinya.

“Buat masa ini memang belum ada sesiapa dan saya pun tak mencari. Saya cuma jalani hidup seperti biasa dan percaya semuanya akan datang pada waktu yang tepat,” ujarnya.

Untuk rekod, Nora pernah mendirikan rumah tangga bersama Nedim Nazri pada 30 Mac 2017 sebelum berpisah pada 19 Jun 2024. Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl.

Sebelum itu, Nora pernah berkahwin dengan Rizal Ashram Ramli pada tahun 2006 namun bercerai dua tahun kemudian. Mereka mempunyai seorang anak lelaki iaitu Putra Rayqal.

Related Articles

Back to top button