
Sebuah papan tanda trafik berwarna oren di sebuah bulatan berhampiran Seri Tanjung Pinang, Pulau Pinang telah diturunkan sementara waktu selepas campur tangan majlis bandara negeri itu.
Terletak di sepanjang Gurney Drive, papan tanda tersebut menjadi tular di internet selepas gambar reka bentuknya yang didakwa menyerupai kemaluan lelaki viral di media sosial.
Imej yang tidak disengajakan itu mencetuskan gelombang jenaka, hiburan dan rasa tidak percaya dalam kalangan pengguna media sosial.
Pengarah Perkhidmatan Pengurusan Majlis Bandaraya Pulau Pinang; Datuk Ir Rajendran P Anthony menjelaskan, papan tanda tersebut dipasang oleh pemaju dan pihak majlis telah mengarahkan supaya ia diganti.
“Pemasangan dibuat oleh Tanjong Pinang (pemaju). Kami telah mengarahkan mereka mengubah suai, dan mereka telah menurunkannya,” katanya kepada theSun.
Gambar yang dikongsikan di laman Facebook PenangToday Community meraih lebih 150 reaksi serta puluhan komen, antaranya:
“Haiyaaa… terlepas peluang nak ambil gambar.”
“Patutnya biar je, mesti ramai ambil gambar sampai jadi tarikan.”
“Kenapa turunkan? Macam mana pengguna jalan raya nak tahu lencongan trafik baharu?”
“Serius, masa viral saya ingat gambar edit. Rupanya betul.”
“Saya tak nampak apa-apa yang salah. Ia tepat dan jelas berdasarkan reka bentuk jalan sebenar.”



