Sentuhan Andi Rianto Sarat Emosi, Pikat Lyodra Ginting

Karyanya sering didambakan, sentuhannya sering kali dinantikan-nantikan oleh kebanyakan penyanyi popular Indonesia. Maka, tidak hairanlah sekiranya ada yang berpendapat Andi Rianto antara maestro muzik hebat yang pernah dilahirkan industri di sana.

Hasil karya Andi pernah dilagukan oleh nama-nama besar seperti Rossa, Titi DJ, Ari Lasso, Agnes Monica sehingga generasi baharu seperti Lyodra Ginting dan Tiara Andini.

Tidak puas dengan apa yang sudah kecapi, lelaki yang berusia 52 tahun ini menghasilkan album Symphony From The Heart sebagai tanda mata perjalanan seninya.

Album ini merupakan album gabungan antara Andi Rianto dengan beberapa pemuzik lain di Indonesia. Bermula dari pelancaran ‘Bahasa Kalbu’ bersama Raisa hingga ke ‘Sang Dewi’ dan ‘Mengejar Matahari’.

Mengisi 11 buah lagu secara total, sembilan daripadanya sudah dilancarkan sebelum ini. Dua lagu baru yang menjadi taruhan di album ini iaitu ‘Sampai Di Sini’ yang juga merupakan kolaborasi bersama Rony Parulian dan ‘Kau Selalu Di Hati’ bersama Lyodra dan Rony.

Alasan Andi memilih Lyodra dan Rony untuk menyanyikan kedua lagu itu kerana mereka sering bekerjasama sebelum ini, sehingga ikatan yang terbina sudah kuat dan memudahkan komunikasi dalam proses penciptaan dua lagu baru tersebut.

“Lyodra dan Rony dipilih kerana kami sering bekerjasama melalui projek sebelumnya. Pada waktu itu, saya membuat latihan vokal dengan bersahaja untuk lagu baru dengan mereka hingga terciptanya lagu ‘Kau Selalu Di Hati’.

“Untuk lagu ‘Sampai di Sini’, saya sempat memikirkan sebuah idea lagu khas untuk Rony,” kata Andi menceritakan tentang dua lagu baru tersebut.

Yang menariknya tentang Lyodra atau Rony, apabila mereka diberikan cabaran untuk menulis lirik lagu, hasilnya semestinya indah kerana mereka saling melengkapi nada dan suara masing-masing begitu juga dengan lirik yang ditulis.

Bukan satu perkara yang mudah untuk membuat album daripada gabungan lagu-lagu yang ditulis oleh ramai penyanyi. Itulah yang menjadi cabaran Andi dalam menyelesaikan projek album Symphony From The Heart tersebut.

Walaubagaimanapun, lelaki ini mampu mencapai salah satu cita-cita terbesarnya dan membuat album ini menjadi sebuah legasi terbaik dalam perjalanan muziknya.

Kembali ke ‘Kau Selalu Di Hati’ iaitu pilihan utama dalam album ini, lagu ini merupakan lagu cinta yang membawa pop balada dalam aturan muziknya.

Menceritakan tentang wujud rasa cinta yang tulus dari dua orang insan yang sedang jatuh cinta. Komposisi muzik yang sangat indah, mengutamakan harmoni yang merdu, ditambah dengan bunyi string dari Budapest Scoring Orchestra yang membuatnya kedengaran megah dengan nuansa yang romantis.

Tambahnya lagi, muzik video lagu ‘Kau Selalu Di Hati’ juga menggambarkan betapa indahnya lagu ini dengan mengambil set berlatarbelakangkan struktur bangunan megah dan klasik khas Eropah masa lampau.

Muzik video ‘Kau Selalu Di Hati’ memang mempunyai elemen romantis, tapi di sebalik tabirnya, semua yang terlibat lebih banyak ketawa kerana banyak perkara lucu yang berlaku.

“Hubungan saya bersama Lyodra dan Rony Parulian juga sudah sangat serasi,” ulas Andi ringkas.

Melalui album yang diedarkan oleh Universal Music Indonesia ini, Andi berharap kesemua lagunya dapat memberi kesan kepada sesiapa saja yang mendengarnya, serta mendapat tempat di hati mereka.

Related post

Leave a Reply