Singgung Sensitiviti, Stesen Radio Era Minta Maaf

SETELAH tular dan mendapat kecaman ramai, penyampai 3 Pagi Era akhirnya membuat permohonan maaf secara terbuka di platform media sosial radio Era susulan video yang didakwa mempersendakan masyarakat Hindu.

Nabil, Azad Jazmin dan Radin membuat permohonan maaf tersebut pagi tadi setelah menerima beberapa desakan daripada pelbagai pihak yang tersinggung dengan kandungan yang dimuat naik sebelum ini berkaitan dengan sambutan Thaipusam.

“Salam sejahtera kepada semua sahabat-sahabat kami. Kami di 3 Pagi Era ingin memohon maaf kepada semua pihak berkaitan video kami yang dimuat naik di laman sosial Era baru-baru ini.

“Ini berhubung aksi kami yang kurang menyenangkan dan menyinggung hati segelintir pihak dan juga sahabat-sahabat kami yang berbangsa India,” kata Nabil.

Perkara tersebut turut diakui oleh Radin yang menganggap itu merupakan kesilapan pihak mereka dan akan memastikan perkara sama tidak berulang di masa akan datang.

“Sebenarnya kami juga mengakui kesilapan serta kekhilafan kami. Kami juga akan pastikan perkara sama tidak akan berulang lagi pada masa akan datang,” katanya dalam video yang dimuat naik pada Selasa.

Video berkenaan memaparkan individu yang meniru tarian kavadi sambil melaungkan ‘Vel Vel’ secara tidak sopan, sekali gus mencemarkan kesucian kepercayaan masyarakat Hindu di Malaysia.

Perkara tersebut turut mendapat perhatian Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan mendesak pihak Era memohon maaf atas isu tersebut yang menyinggung perasaan mereka.

“Tindakan ini bukan sekadar tidak berakal, malah satu penghinaan terang-terangan terhadap agama dan tradisi penganut Hindu di negara ini.

“Era FM sebagai organisasi media sepatutnya lebih peka dan tidak membiarkan kandungan yang menghina seperti ini diterbitkan.

Kakitangan mereka jelas tidak layak berada dalam industri media jika tidak memahami sensitiviti agama dan budaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Azad turut kesal dengan apa yang telah berlaku dan meminta maaf kepada semua yang terkesan dengan video berkenaan.

“Kami juga sentiasa terbuka untuk menerima segala komen ataupun kritikan untuk memperbaiki lagi diri kami terutamanya daripada pendengar setia kami di Era.

“Jadi, sekali lagi kami menyusun jari memohon maaf di atas kesilapan kami tanpa sedar yang kami lakukan. Jadi, maaf sangat-sangat daripada kami di 3 Pagi Era,” jelasnya.

Related post

Leave a Reply